Oleh Arrazaq Nazri

KUALA LUMPUR — Tokoh Wartawan Rakyat dan pemilik akaun Facebook, Ibu Yati memberi tempoh tujuh hari kepada Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan untuk memohon maaf secara terbuka di semua media.

Tuntutan tersebut dibuat setelah Nasrudin didakwa telah membuat tohmahan dan fitnah terhadap dirinya yang kononnya membawa agama baru, membawa agama Melayu dan juga ajaran sesat melalui kenyataan medianya.

“Antara fitnah beliau terhadap saya termasuklah, kononnya saya melahirkan agama baru iaitu agama Melayu. Kedua, saya melakukan syahadah pelik Ila Ha Ila Ra Ila Ma dan disambungkan dengan pengakuan Aku Melayu sebanyak 7 kali.

“Ketiga saya dikatakan menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab. Kononnya saya dan lain-lain membawa Islam Melayu,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ibu Yati mengeluarkan kenyataan tersebut bagi menjawab kenyataan rasmi Nasrudin yang telah disiarkan hampir di semua media perdana dan media sosial semalam.

Berdasarkan maklumat FB beliau yang juga merupakan seorang tokoh politik PAS, beliau telah didakwa menghasut, memfitnah, menghina dan menimbulkan kebencian awam serta menjatuhkan reputasi Ibu Yati dan memberi imej negatif terhadap beliau sebagai Tokoh Wartawan Rakyat yang dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong.

Ibu Yati berkata, kenyataan Nasrudin turut menggambarkan niat jahat terhadap dirinya dengan merancangkan tindakan penguatkuasaan terhadapnya.

Sedangkan katanya lagi, beliau tidak dimaklumkan kesalahan atau ditangkap atau didakwa atas apa-apa kesalahan berkaitan agama Islam.

“Beliau juga jelas menghasut seluruh rakyat Malaysia membenci saya dengan memfitnah saya membawa ajaran Islam Melayu yang dikatakan ajaran yang sesat lagi menyesatkan. Beliau mengaku pernah kenal saya tetapi saya tidak pernah kenal dia,”katanya.

Mengulas lanjut, Ibu Yati berkata kandungan di YouTube IBU NEWS CHANNEL telah dimuat turun, diubahsuai dan disiarkan kembali di luar konteks termasuk melibatkan rakaman video lain yang berusia lima tahun lalu.

Beliau menambah, selain kenyataan YADIM tersebut beberapa laman sosial FB berlandaskan atau bertopengkan agama seperti Sidang Kalam dan Suhili Nain turut menyebarkan fitnah terhadapnya menerusi rakaman video yang sama.

Sehubungan dengan itu beliau membuat laporan polis di Balai Polis Ampang ke atas pemilik FB berkenaan kerana telah menjatuhkan reputasi, maruah dan imejnya sebagai Tokoh Wartawan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau merafak sembah kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam Malaysia dan kepada DYMM Sultan Selangor supaya mengambil tindakan ke atas mana-mana pertubuhan atau individu yang kononnya berkaitan dengan agama Islam (seperti YADIM) tetapi memandai-mandai, mempersendakan sistem pengisytiharan fatwa kebangsaan, serta menghina Ketua Agama Islam.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here