FOTO: KKM.

PUTRAJAYA —  Datuk Mohd Shafiq Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min yang bersara wajib pada 3 Feb.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata Mohd Shafiq, 57, berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk kewangan, dasar dan pembangunan, serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), KKM.

“Dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki oleh Mohd Shafiq, saya yakin beliau mampu memacu KKM meneruskan kecemerlangan pentadbiran dan pengurusan dalam bidang kesihatan di Malaysia terutamanya dalam menangani pandemik COVID-19,” katanya.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Meiji, Jepun, itu telah berkhidmat selama 29 tahun dalam perkhidmatan awam dengan jawatan pertamanya sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 1992.

— BERNAMA

Please follow and like us: