Oleh Dr. Muhammad Ikhlas Rosele

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini isu transgender menjadi bualan utama sama ada di kaca televisyen, akhbar dan media sosial. Segmen yang menjadi tumpuan adalah berkaitan dengan hak dan penerimaan terhadap golongan ini. Usaha yang harmoni perlu digarap dan digerakkan oleh pelbagai pihak dalam mencari penyelesaian terbaik untuk golongan ini.

Secara umumnya, perbincangan hukum mengenai transgender ini telah dibahaskan oleh para ulama. Bahkan beberapa keputusan fatwa telah diputuskan yang boleh dijadikan rujukan, sebagai contohnya keputusan fatwa la-Mujamma’ al-Fiqhi al-Islami pada persidangan yang ke-11 di Mekah pada tahun 1989 menyatakan tidak halal bagi lelaki yang sempurna kelelakiannya menukar kepada perempuan dan tidak halal perempuan yang sempurna keperempuananya menukar kepada lelaki, manakala perbuatan menukar jantina itu juga merupakan jenayah yang layak dikenakan hukuman.

Keputusan ini adalah berasaskan beberapa nas yang jelas menyatakan bahawa amalan menukar jantina sebagai sesuatu yang dilarang. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, 4: 119, “Dan demi sesungguhnya aku (syaitan) akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu, dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”.

Di dalam hadis Rasulullah SAW juga terdapat beberapa kenyataan yang mencegah perbuatan tersebut. Bermula dari larangan lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya sehinggalah mengubah ciptaan Allah. Ibn Mas’ud berkata; “Allah melaknat perempuan yang bertatu dan membuat tatu, yang mencukur bulu mata, yang mengikir giginya untuk menjadi indah, yang mengubah ciptaan Allah” (Hadis riwayat al-Bukhari, 4886).

Walapun begitu, perlu jelas bahawa dalam Islam perbuatan dan orang yang melakukan perbuatan tersebut ada kalanya dibezakan. Justeru, pada hakikatnya perbuatan mengubah jantina itu adalah suatu perbuatan yang dicela dan haram, akan tetapi pelakunya masih menerima hak-hak dan boleh menunaikan kewajipan tanpa halangan. Sebagaimana Islam membenarkan bermuamalah dengan orang kafir walaupun pada hakikatnya kekufuran pada orang kafir tersebut adalah sesuatu yang dibenci. Rasulullah sendiri juga menggadaikan baju besinya pada seorang yahudi. Cuma batasan hak dan halangan itu sesuatu yang subjektif dan ijtihadi, ia boleh dirungkai dengan melihat kesan dan implikasi yang berlaku atau bakal berlaku.

Jalan penyelesaian yang terbaik perlu dicari dengan mengimbangkan aturan Islam dan hak asasi golongan transgender khususnya di Malaysia. Perkara inilah yang perlu dijadikan prioriti kerana hak asasi merupakan sesuatu yang sangat subjektif, ada kalanya ia telah membatasi norma kehidupan, undang-undang bahkan agama. Diskriminasi kepada golongan transgender tidak seharusnya wujud namun golongan ini perlu diberi kefahaman bahawa mereka telah merentasi kehidupan normal dari sudut fizikal, budaya dan keagamaan, oleh itu, tidak hairanlah mereka merasa didiskriminasi.

Penyelesaian utama yang perlu dilakukan terhadap golongan transgender ini adalah rawatan. Rawatan yang bagaimana hendak dilakukan? Secara pemerhatian kasar, polemik transgender ini tidak dapat diselesaikan melalui perjumpaan dan sesi luahan. Bahkan apa yang utama dilakukan adalah satu kajian mendalam untuk mengenal pasti punca, gejala dan kecenderungan golongan ini. Memberi kebebasan hak yang dituntut mereka bukanlah penyelesaian, kerana “keringanan” yang diberikan walaupun dilihat menarik perhatian mereka kepada agama, tetapi ia membuka ruang kerosakan yang lebih besar. Hal inilah ditekankan oleh ilmuwan Islam seperti Muhammad Jamal Mubarak (1988), bahawa keringanan yang hendak diraikan bukanlah sehingga menghalalkan sesuatu yang haram sehingga implikasi yang besar boleh wujud.

Pendekatan penyelesaian dan rawatan yang menggunakan pendekatan sadd al-dharai’ (menutup pintu kerosakan) perlu diambil. Ini kerana toleransi yang tidak berasas jika diberikan kepada golongan ini menyebabkan pintu untuk orang lain mengubah jantina terbuka luas. Mencegah daripada hal ini berlaku adalah menjadi autoriti utama disamping merawat golongan transgender. Pendekatan inilah yang disebut sebagai iaitu “mencegah lebih baik dari merawat” (al-Burnu, 2000).

Selain kajian yang mendalam terhadap punca dan kaedah rawatan yang terbaik. Sewajarnya golongan ini telah disarankan untuk melalui rawatan psikologi atau seumpamanya yang telah dijalankan oleh badan kerajaan atau badan bukan kerajaan. Kerana asasnya isu psikologi antara punca utama yang dikenal pasti. Golongan transgender ini menganggap bahawa kejadian asal mereka adalah satu kesilapan atau mismatched body parts dan juga genetic disorder. Boleh diakui bahawa pandangan mereka mempunyai asas dan kajian. Pemikiran inilah yang menjadi antara faktor mereka mengubah jantina, dan ia perlu dirawat dengan pelbagai pendekatan. Namun sekali lagi apa yang penting adalah satu kajian yang mendasar dengan mengambil kira soal keagamaan, budaya dan realiti sebenar perlu dilakukan.

Dr. Muhammad Ikhlas bin Rosele merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Emel: [email protected]

– BebasNews

Please follow and like us: