Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mewujudkan sistem e-Faraid bagi umat Islam menguruskan harta pusaka dengan lebih mudah dan pantas secara atas talian.

Sistem e-Faraid tersebut disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof,
sempena perutusan Tahun 2021 dan pelancaran video korporat MAIS menerusi sebuah aplikasi di sini hari ini.

Menurut Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar, pihaknya sentiasa komited memberi perkhidmatan terbaik dan menjadi rujukan utama dalam urusan pentadbiran harta pusaka umat Islam.

“e-Faraid MAIS merupakan sistem yang dibangunkan merangkumi penawaran perkhidmatan pengurusan harta pusaka, kaedah pengiraan secara faraid dan pengurusan fail serta pelaporan untuk pegawai yang mengurus.Ia merupakan sistem pertama seumpamanya dihasilkan oleh MAIS melalui bidang kuasa yang diperuntukkan mengikut Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Menerusi e-Faraid, pengguna dibekalkan dengan Kalkulator Pengiraan Faraid atau K-Faraid yang bertujuan mendidik mereka memahami kaedah pengiraan dan pembahagian harta pusaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shahir berkata, pengguna yang menggunakan K-Faraid hanya perlu memasukkan
butiran waris dan jumlah nilaian harta pusaka peninggalan si mati.

“Hasil pengiraan kemudian akan memaparkan kadar bahagian waris bersama jumlah harta menerusi jadual pengiraan.

“Pengguna hanya perlu memilih perkhidmatan yang dikehendaki seperti permohonan bagi penebusan, pusaka tiada waris, urus pusaka dan pembelian,” ujarnya.

Beliau menambah, pihaknya menerusi sistem khas itu akan melaksanakan pengurusan harta pusaka dengan telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada ahli waris.

Katanya lagi, orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan e-Faraid MAIS itu boleh melayari  laman sesawang http://efaraid.mais.gov.my/ bermula hari ini.

Selain itu, mereka diminta menghubungi  Baitulmal MAIS di talian 03-55143773/3772 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

– BebasNews

Please follow and like us: