FOTO: Aziz A. Shariff

IPOH — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan semua masjid dan surau menerima bilangan jemaah solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah, mengikut keluasan dewan solat utama dengan mematuhi jarak fizikal berkuat kuasa pada solat Maghrib Khamis ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin turut berkenan semua surau termasuk surau dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang, mendirikan solat Jumaat agar seramai mungkin jemaah berpeluang menunaikannya.

Katanya, Sultan Nazrin menzahirkan titah berkenaan setelah dipersembahkan dan berpuas hati dengan keupayaan jawatankuasa dan pegawai masjid mematuhi dan melaksanakan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta berlandaskan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

“Kuliah ilmu juga dibenarkan diadakan di masjid dan surau antara selesai Solat Maghrib sementara menantikan masuknya waktu Solat Isyak dihentikan sebaik masuk waktu Solat Isyak dengan tidak melebihi 30 minit kepada jemaah yang berada dalam masjid,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata aktiviti sama dibenarkan di surau, sementara menanti azan solat Jumaat serta selepas selesai menunaikan solat Subuh.

Mohd Annuar berkata jemaah yang dibenarkan berjemaah di masjid dan surau bagi solat Jumaat hanya jemaah lelaki warganegara dan penduduk tetap Malaysia berusia 12 tahun ke atas manakala solat Fardu dibenarkan kepada jemaah lelaki dan wanita, warganegara dan penduduk tetap Malaysia berusia 12 tahun ke atas.

Beliau berkata kumpulan berisiko tinggi terutama kalangan yang menghidap penyakit-penyakit tertentu dan sedang melalui rawatan perubatan dinasihatkan tidak menghadiri aktiviti berkumpulan di masjid dan surau sebagai langkah penghindaran demi mengelakkan berlakunya komplikasi kesihatan.

“Turut tidak dibenarkan mengadakan jamuan dalam masjid dan surau, merangkumi perkarangan masjid dan surau.

“Sebarang aktiviti, termasuk mendirikan solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau yang terletak dalam kawasan yang diisytiharkan berada dalam kategori Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan juga tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata ketetapan itu terpakai dan berkuat kuasa mulai solat Magrib pada Khamis ini sehingga dikeluarkan apa-apa ketetapan baharu dan perkenan baginda untuk menambah atau mengurangkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak COVID-19 di negeri Perak.

Pada 9 Feb lepas, Sultan Nazrin memberi perkenan had maksimum jemaah untuk solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah di masjid serta surau dinaikkan kepada 120 orang berbanding 40 sebelum itu tidak termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai rumah ibadat berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

MAIPK-SIARAN MEDIA PANDUAN AKTIVITI DI MASJID DAN SURAU-16.2.2021(final)

— BERNAMA

Please follow and like us: