FOTO: Aziz A. Shariff.

Oleh Fetty Rara

TESCO telah ditukar milik kepada sebuah syarikat Thailand, CP Group.

Perkembangan itu pernah diumumkan pada awal tahun lalu melalui satu kenyataan.

Akhbar The Star tahun lalu pernah menyiarkan tentang pertukaran hak milik rangkaian stor tersebut pada nilai AS$10.6 bilion membabitkan penjualan keseluruhan pegangan saham Tesco Stores (Thailand) Ltd.

Syarikat-syarikat di bawah CP Group terdiri daripada CP Retail Development Company Ltd, Charoen Pokphand Holding Co., Ltd, All PLC dan CP Merchandising Co., Ltd.

Menurut Tesco lagi penjualan tersebut akan meringkaskan operasi Tesco Group bagi memantapkan tumpuan kepada perniagaan runcit di United Kingdom dan di Eropah Tengah.

Tesco memulakan operasi di Thailand pada 1998 melalui Ek-Chai di bawah nama ‘Tesco Lotus’ yang memiliki rangkaian sebanyak 1, 967 stor merangkumi pelbagai format di serata negara itu, termasuk platform membeli-belah dalam talian serta aplikasi pihak ketiga, seperti Lazada dan Happy Fresh.

Di Malaysia, Tesco memulakan operasi di bawah nama Tesco Malaysia pada 2002 sebagai sebahagian daripada usaha sama dengan Sime Darby Bhd.

Perkembangan terbaharu yang ditularkan semalam melalui media sosial merujuk kepada penukaran papan tanda Tesco yang digantikan dengan Lotus’s di sebuah stor di Malaysia.

Menurut sumber dalaman syarikat yang dilaporkan oleh SinarPlus, segala produk Tesco akan diberhentikan apabila stok kehabisan.

Setakat pagi semalam tinjauan BebasNews mendapati beberapa stor, termasuk Tesco Mutiara Damansara, Petaling Jaya masih lagi menggunakan identiti korporat Tesco.

-BebasNews
 

Please follow and like us: