KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) telah melantik Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) berkuat kuasa pada 4 Januari 2021 selaras dengan usaha TH dalam memantapkan kepimpinan organisasi tersebut.

Datuk Ahmad yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) dalam bidang Pengurusan Operasi dari Universiti Northern Illinois, Amerika Syarikat, berpengalaman lebih 30 tahun dalam Kumpulan TH.

Beliau pada awalnya memulakan kerjaya di THTS pada tahun 1988 sebagai Pengurus Penerbangan sehingga menyandang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan (Operasi). Pada tahun 2004 – beliau telah dipinjamkan ke TH dan seterusnya diserap sebagai kakitangan tetap sehingga menyandang jawatan terakhir sebagai Pengurus Besar (Operasi Domestik) TH sehingga akhir tahun 2020.

Beliau amat bersyukur dengan amanah yang diberikan dan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan TH kepada beliau untuk menerajui THTS yang telah terbukti cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kepada Jemaah Haji dan Umrah serta aktiviti pelancongan dalam dan luar negara.

– BebasNews

Please follow and like us: