PUTERI Latifa sebelum melarikan diri dari Dubai.

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB) berkata badan itu akan membangkitkan isu berhubung penahanan Puteri Latifa, anak kepada pemerintah Dubai dengan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Puteri Latifa pernah menuduh bahawa ayahnya telah meletakkan beliau dalam tahanan sebagai tebusan di Dubai sejak beliau gagal melarikan diri dari bandar raya tersebut pada 2018, lapor bbc.com.

Melalui beberapa video dirakam secara sulit yang dikongsi dengan pihak BBC, Puteri Latifa berkata beliau berasa amat takut akan dibunuh.

Klip-klip video itu telah mencetuskan gesaan supaya PBB menjalankan siasatan, sementara United Kingdom pula menyifatkan pendedahan tersebut sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.

Menurut Setiausaha Luar UK Dominic Raab semua klip video itu jelas menunjukkan betapa Puteri Latifa menghadapi tekanan.

Sementara itu, jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB mengenai Hak Asasi Manusia Rupert Colville berkata mereka akan menyoal pihak UAE tentang keadaan Puteri Latifa.

Menurut beliau susulan itu mereka akan menggerakkan pelbagai kaedah di bawah bidang kuasa PBB untuk membantu.

Ayah Puteri Latifa, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum yang merupakan pemerintah Dubai dan Naib Presiden UAE adalah antara pemimpin negara yang terkaya di dunia.

Beberapa kumpulan hak asasi manusia berkata walaupun beliau berjaya membangunkan sebuah bandar raya yang serba canggih dan moden, namun beliau tidak ada toleransi terhadap perbezaan pendapat, sementara sistem kehakiman di negara itu pula didapati mendiskriminasikan kaum wanita.

Pada Februari 2018 Puteri Latifa telah cuba melarikan diri dari Dubai dengan pertolongan kawan-kawannya untuk memulakan kehidupan baru di negara lain.

Beliau berkata kini beliau tidak dibenarkan untuk memandu kereta dan dilarang meninggalkan bandar raya itu.

Beberapa hari setelah melarikan diri Puteri Latifa ditangkap oleh sekumpulan komando yang menaiki sebuah bot di Lautan Hindi dan terus dihantar pulang ke Dubai dan ditahan sehingga sekarang.

Sebelum ini Sheikh Mohamed pernah berkata bahawa tindakan ke atas Puteri Latifa itu adalah untuk kebaikannya sendiri dan beliau selamat di dalam jagaan keluarga.

-BebasNews

Please follow and like us: