Oleh AMREE AHMAD

SEMPOI… Pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid mengakui tugas sebagai food rider atau penghantar makanan memang agak susah dan menuntut kesabaran amat tinggi.

Sambil bersimpati dengan pekerja terbabit, beliau turut berkongsi pengalaman dirinya sendiri yang mencuba kerjaya itu selama sehari menerusi akaun media sosial miliknya baru-baru ini.

“Tugasan pertama jadi ‘food rider. Seronok dan penat bercampur. Banyak dipelajari,” katanya yang mesra disapa sebagai Ustaz Don sebelum memberi sedikit pesanan kepada mereka.

Antaranya ujar beliau berasal dari Pulau Pinang itu, ialah selalu baca doa naik kenderaan dan dijauhkan musibah agar terselamat daripada sebarang kecelakaan sepanjang bertugas.

Beliau yang sering muncul dalam program pengajian al-Quran di beberapa stesen televisyen juga menasihtkan ‘abang rider’ berhati-hati dan menghormati para pengguna jalan raya lain.

“Kerja ni memang susah, banyak bersabar dengan kerenah pelanggan, tapi solat jangan tinggal, selalu doa minta Allah diberi kesabaran dan dapat pelanggan yang baik,” tulis Ustaz Don.

Selain itu, beliau turut menegur pembeli supaya menghormati dan mengucapkan terima kasih kepada ‘abang rider’ dengan bersangka baik dan berdoa agar dapat selamat hantar makanan.

Tambah beliau lagi, jika ada rezeki lebih, berilah penghantar tersebut dengan sedikit tip atau upah penghargaan serta ada perasaan kasihan kerana mereka ‘berhujan panas’ pun demi kita.

“Order (tempah) makanan sebelum lapaq (lapar), supaya kalau dia lambat, kita masih OK. Order last minute (saat akhir), apabila lambat, kita marah… tak boleh lagu (macam) tu,” tegurnya.

Lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir yang menetap di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor itu namun tidak pula mendedahkan lokasi beliau ‘berlakon’ menjadi penghantar makanan tersebut.

Hantaran Don Daniyal, 36, yang juga Pengurus Besar sebuah anak syarikat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ternyata tular dalam kalangan warganet tempatan sendiri.

Akaun Instagram beliau menerima hampir 35,000 tanda suka malahan meraih lebih 53,000 tanda suka selain dikongsi 3,400 kali apabila disiarkan melalui Facebook Motorsports Malaysia.

Ramai netizen terharu dan bersyukur ada individu seperti Ustaz Don yang prihatin dengan nasib kebajikan ramai penghantar makanan miskin gigih mencari rezeki bagi menyara keluarga.

“Hanya mereka yang pernah merasai akan memahami, apa-apa pun suka cara ustaz, sempoi (bagus) habis, lawa motosikal ustaz!,” komen seorang netizen dengan nama Isyafiqahmad.

“Sempoi ustaz, turun padang sendiri selami perasaan, timba pengalaman, dakwah akan lebih berkesan,” ulas seorang lagi pengguna media sosial yang hanya bernama Dah Amazing.

“Ustaz bukan nak tambah duit, tapi amal pahala merasa macam mana susahnya rider jalan amanah di samping cari rezeki halal, syabas ustaz,” tulis warganet yang bernama Onie Hani.

Please follow and like us: