Oleh Amirul Afiq Mastor

BAGAIKAN Parlimen, Clubhouse kini menjadi kegilaan baharu di Malaysia sebagai medan perbincangan hangat pelbagai isu rakyat dan semasa.

Bukan hanya golongan biasa-biasa, Menteri, Timbalan Menteri, ketua parti politik juga berada di sini membincangkan pelbagai perkara yang tidak dapat dibangkitkan dalam Dewan Negara akibat darurat.

Aplikasi ini menjadi tempat berkumpulnya khalayak terpilih untuk bertukar pendapat dan berbincang dengan adanya speaker dan juga beberapa orang lain untuk mengulas topik yang diberikan.

Jika berada di Clubhouse, anda boleh melihat sendiri pelbagai Room yang dibina untuk membincangkan isu-isu semasa. Isu-isu yang dibincangkan termasuk Undi 18 tahun pada PRU15, Darurat, Covid-19, Vaksin l dan pelbagai lagi isu-isu menarik.

Pendek kata, aplikasi eksklusif ini membolehkan perkongsian pendapat dibuat mengikut Room yang disediakan, atau membuat Room sendiri bergantung topik yang digemari.
Bagaimanapun, bukan semua orang boleh menyertainya.

Bagi menjadi ahli Clubhouse, seorang itu perlu dipelawa atau dicalonkan pengguna sedia ada aplikasi ini sebelum layak menyertainya. Jadi tidak menghairankan jika terdapat pihak membuat duit dengan menjual jemputan ke Clubhouse sebanyak RM500.

Para penjual jemputan kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan apabila muncul di laman-laman jualan dalam talian seperti Mudah.com. Facebook Marletplace, Carousell dan sebagainya. Tanpa jemputan seseorang itu perlu berada dalam senarai menunggu yang panjang untuk menyertainya.

Apa yang menjadikannya lebih eksklusif, hanya pemilik telefon pintar iPhone keluaran Apple sahaja berpeluang menyertainya. Jika anda hanya pengguna Android atau Huawei mahupun Xiomi, anda hanya mampu melihat golongan kayangan berada di ‘Parlimen’ berkenaan.

Namun begitu, jika anda mempunyai iPhone 12 Pro Max termahal dipasaran selakipun anda tetap perlu menunggu giliran untuk menyertai perbincangan aplikasi ini jika tiada sesiapa mempelawa anda untuk menyertai Clubhouse.

Bagi pengguna sistem operasi lain, penantian hanya akan berakhir apabila pihak pembina aplikasi Clubhouse untuk membesarkan lagi pencapaian kepada yang lebih besar.

Clubhouse merupakan aplikasi yang dibina di Amerika Syarikat pada tahun lalu itu sebelum mendapat sambutan yang menggalakan di seluruh dunia. Ia merupakan aplikasi berasaskan suara yang popular setelah Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk memuat naik aplikasi ini dalam chanel Youtubenya.

Walaupun agak membosankan daripada segi rekaan aplikasi tetapi ia sangat mudah untuk digunakan. Pemilik boleh mendengar perbincangan daripada penceramah (speaker) di Room yang dibina mengikut topik yang berkaitan.

Pengguna boleh memilih mengikut minat dan mendengar daripada penceramah dari seluruh dunia seperti mengenai perniagaan, rekaan, kesihatan dan sebagainya. Semua bebas memasuki mana-mana Room yang dibuka untuk sertai dan kita juga boleh menjadi speaker atau bertanya soalan dengan mengangkat tangan melalui pautan yang disediakan.

Boleh dikatakan aplikasi terbaharu ini menjadi satu aplikasi yang baik bagi perkongsian ilmu, perbincangan secara langsung dan interaksi antara orang ramai dari pelbagai latarbelakang.

Jika sebelumnya podcast menjadi sebuah medium mendengar. Tapi dengan adanya Clubhouse ia sudah mula merubah pandangan orang ramai terhadap media sosial.
Di Malaysia, kehadiran Clubhouse mengubati keresahan Ahli Parlimen yang tidak dapat bersidang di Parlimen. – BebasNews

Please follow and like us: