Abdul Aziz Mohd. Yusof (kanan) menyerahkan poster Kempen Wang Tidak Patuh Syariah kepada Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar di Wisma MAIS, Shah Alam

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM – Ramai umat Islam yang belum mengetahui bagaimana hendak melupuskan wang tidak patuh Syariah sedangkan wang berkenaan boleh diserahkan kepada baitulmal untuk digunakan bagi tujuan kepentingan umum dan fakir miskin.

Pada tahun lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengutip wang tidak patuh Syariah berjumlah RM1 juta.

Berikutan kejayaan ini, MAIS kini mengadakan kempen penyaluran wang tidak patuh Syariah ke baitulmal MAIS bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengurus harta secara bijaksana mengikut hukum syarak.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Abd.Aziz Mohd.Yusof, kempen yang dijadualkan sepanjang bulan Rejab 1442 Hijrah tersebut, orang ramai membersihkan harta yang diperolehi agar kehidupan yang dilalui penuh dengan keberkatan.

“Wang tidak patuh syariah boleh berupa wang atau harta yang diperolehi daripada sumber haram termasuk transaksi riba, hasil jualan barangan curi, duit rasuah, hasil rompakan yang gagal dikembalikan kepada pemilik asal dan perlindungan insurans konvensional,” kata beliau selepas melancarkan kempen berkenaan di sini.

Abdul Aziz berkata, MAIS berperanan menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam betapa pentingnya mengurus harta dengan sempurna berlandaskan hukum syarak.

Beliau berkata, pelbagai program diatur untuk menjayakan kempen tersebut sepanjang bulan Rejab termasuk hebahan info, klip video penerangan dan webinar kesedaran mencari rezeki yang halal dan kuliah-kuliah penerangan di masjid dan surau secara atas talian.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung aktiviti kempen ini bolehlah mengakses Facebook MAIS.

Bagi masyarakat yang ingin melupuskan wang tidak patuh syariah boleh berbuat demikian secara atas talian menerusi https://www.mais.gov.my/wang-tak-patuh-syariah/.

– BebasNews

Please follow and like us: