APA yang Parti Keadilan Perak kalut semacam apabila Timbalan Pengerusinya, M.A Tinagaran, atau Datuk Tina ditahan SPRM.

Datuk Tina ini dikatakan adalah pembantu khas kepada bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar. Namun dinafikan oleh Xavier. “Dia hanya rakan keluarga dekat,” katanya.

Difahamkan, kes ini berkaitan dengan pemberian projek perlombongan pasir.

Kalau benar Parti Keadilan selama ini memperjuangkan soal integriti, bebas rasuah dan soal rakyat miskin — biarkanlah SPRM membuat kerja mereka.

Apa yang Farhash Wafa Salvador Mubarak, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Perak buat macam-macam kenyataan, yang mengusutkan lagi suasana.

Dalam Facebook beliau, dia memberi tajuk Media Harus Cermat, sambil menulis “Saya ingin membawa perhatian orang ramai kepada berita palsu yang dilaporkan oleh beberapa media yang melibatkan timbalan pengerusi Keadilan Perak M A Tinagaran.”

Bekas PM, Najib Tun Razak dan isterinya yang kena dakwa pun tak sekalut Farhash ini.

Apakah dia merasakan mereka ini terlalu kebal daripada tuduhan rasuah? Sepatutnya beliau menyokong tindakan SPRM menyiasat dakwaan itu.

Yalah, ia baru di peringkat siasatan. Belum dakwa lagi. Apa yang kalut sangat. Macam-macam Farhash ini buat statement.

Malah SPRM sendiri tidak langsung mendedahkan mengenai penahanan Datuk Tina itu. Malah reman pun SPRM tak dedahkan kepada umum. Yang mendedahkan ialah dari pejabat Keadilan Perak sendiri.

Farhash dalam Facebooknya terus menulis: “Tiada aset atau wang tunai berjumlah berjuta ringgit yang telah dirampas milik Tinagaran. Sebaliknya wang sejumlah RM17 ribu dalam denominasi kecil telah diambil untuk siasatan. Kereta yang disita bukanlah miliknya tetapi oleh seorang kenalan yang menumpang tempat.”

Hebat beliau. Semua dia tahu. Malah dia sudah pun menjatuhkan hukuman tidak bersalah kepada Datuk Tina. Biarlah SPRM siasat dulu. Itu tugas mereka. Jangan letak tekanan kepada SPRM. Itu salah.

Mengapa kamu tidak melompat apabila orang lain kena tahan, malah didakwa atas Akta SPRM.

Biar SPRM melakukan siasatan. Kerana kekalutan Farhash Wafa Salvador itu, agensi penguatkuasaan anti-rasuah terpaksa mengeluarkan kenyataan:

“SPRM mengesahkan telah menahan seorang Timbalan Pengerusi sebuah parti politik yang mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperoleh projek di sebuah kementerian pada 2019.

Turut ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Ipoh semalam ialah dua pengarah syarikat.

Dalam pada itu, SPRM telah merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1.2 juta yang dipercayai wang rasuah disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan Timbalan Pengerusi tersebut.

Turut dirampas ialah sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri tersebut sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik salah seorang pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan.

Setakat ini, beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta juga telah dibekukan untuk tujuan siasatan.”

Cukup jelas kenyataan itu. Biarkan mereka menyiasat. Jangan dikacau. Kita cukup menghormati agensi itu apabila mereka berjaya mendakwa bekas PM, bekas TPM, bekas Ketua Menteri dan lain-lain. Tiada hal pun.

Kes Datuk Tina ini kecil sahaja. Itu pun nak bising?

Malah Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar juga cuba bersilat mendakwa seorang rakan pemimpin parti yang direman hari ini kerana siasatan rasuah melibatkan syarikat yang berurusan dengan kementeriannya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan pembantunya, tetapi “rakan keluarga dekat”.

Nampaknya semua pihak kalut. Nasib baik bos mereka Anwar Ibrahim tak sekalut mereka.

Namun saya hormat juga dengan Xavier apabila menyatakan: “Saya juga berharap agar orang ramai menunjukkan rasa hormat kepada pihak berkuasa dalam mengendalikan siasatan yang melibatkan Tinagaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ingatlah dalam soal rasuah ini, ia tidak mengenal warna kulit, parti politik atau sesiapa jua. Waima kakitangan pejabat agama pun kena dakwa. Perempuan macam ustazah lagi. Apa yang nak kalut sangat?

Oleh itu, wahai Parti Keadilan Perak atau sesiapa pun, duduk diamlah. Biar SPRM jalankan tugas dan amanah mereka.

Terima kasih.

— BebasNews

Please follow and like us: