FOTO: U.S. Department of State from United States, Public domain, via Wikimedia Commons.

Dr Mahathir Mohamad antara lapan individu dan dua kumpulan hak asasi yang hari ini dibenarkan mencelah dalam saman seorang peguam berhubung sama ada keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak pengisytiharan darurat seperti dinasihatkan perdana menteri adalah sesuatu yang melanggar perlembagaan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Mahathir (Ahli Parlimen Langkawi), anaknya Mukhriz (Ahli Parlimen Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Shahruddin Md Salleh (Sri Gading) dan senator Marzuki Yahya, berkata hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya memerintahkan mereka boleh menjadi pencelah kerana mempunyai kepentingan sahih.

Peguam Mohmed Haniff Khatri Abdullah mewakili Persatuan Peguam Muslim, serta peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dan Malcolm Fernandez.

Nazirah Abdul Ghani yang juga seorang peguam diwakili Reza Hassan manakala K Shanmuga hadir bagi pihak Centre for a Better Tomorrow.

Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy mewakili kerajaan yang dinamakan sebagai defendan pertama saman itu.

Rafique berkata, Mariana menetapkan pengurusan kes pada 16 Mac untuk menentukan status permohonan kerajaan untuk membatalkan saman difailkan Syed Iskandar Jaafar al-Mahdzar pada 30 Okt.

“Beliau juga mahu mendengar pendirian semua defendan untuk kes itu dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya kepada FMT selepas prosiding maya di depan Mariana.

Syed Iskandar, yang diwakili R Kengadharan, mengemukakan dua persoalan perundangan dalam samannya.

Pertama, sama ada berdasarkan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun dinasihati perdana menteri atau Kabinet.

Isu kedua pula sama ada pindaan Perkara 150 melanggar struktur asas Perlembagaan.

Peguam itu berkata, beliau menganggap persoalan berkenaan penting demi kedaulatan undang-undang serta melindungi Perlembagaan.

Dalam afidavit sokongannya, beliau berkata tindakan Agong tidak menerima nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atau Kabinet, gagal melaksanakan fungsinya berkaitan dengan Perkara 40 serta 150.

Pada 23 Okt, Muhyiddin menasihatkan Agong mengisytiharkan darurat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan selepas dipersetujui Kabinet dalam satu mesyuarat khas.

Dua hari kemudian, selepas mesyuarat khas Majlis Raja-raja, Agong memutuskan pengisytiharan pdarurat tidak perlu.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/18/mahathir-8-yang-lain-dibenarkan-mencelah-dalam-saman-berhubung-pengisyitharan-darurat/
Please follow and like us: