Analisis Akasia Abdullah

SEPERTI yang diketahui atau mungkin dijangka oleh ramai orang, Datin Seri Rosmah Mansor telah dipanggil membela dirinya atas tiga tuduhan rasuah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Adhoc yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berjaya membuktikan segala elemen dalam pertuduhan-pertuduhan itu.

Namun, apa yang menarik ialah keputusan berani bekas Wanita Pertama Malaysia atau FLOM itu yang memilih untuk memberi keterangan bela diri dari kandang saksi.

Pilihan itu membuka peluang luas kepada Sri Ram untuk bertanya apa sahaja, ‘anything under the sun’ kepada wanita itu.

Menarik untuk dilihat akan reaksi Rosmah apabila diasak dan teruja menantikan soalan-soalan yang akan diajukan oleh Sri Ram.

Adakah Sri Ram akan beri soalan ‘knockout’ sepantas kilat atau adakah beliau akan memanjangkan ‘kedudukan’ Rosmah di kandang saksi.

Tetapi melihat ‘track record’ Sri Ram sejak dilantik menjadi Timbalan Pendakwa Raya Adhoc ini, hanya beberapa soalan sahaja diperlukan untuk menghancurkan keterangan seseorang.

Ketika di peringkat pendakwaan, sewaktu pemeriksaan semula salah seorang saksi pendakwaan, Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Rayyan Radzwill Abdullah, Sri Ram hanya memerlukan tiga soalan sahaja untuk mengukuhkan kesnya.

Satu lagi perkara menarik yang boleh dilihat pada perbicaraan peringkat bela diri nanti ialah pertembungan di antara peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh dan Sri Ram.

Sebelum ini, kedua-dua individu yang senior dalam bidang perundangan itu dilaporkan saling jerit-menjerit di antara satu sama lain ketika prosiding berlangsung di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

“Jangan jerit pada saya“, kata Sri Ram.

“Sebab kamu pekak,” balas Jagjit sekali lagi dengan menjerit kepada Sri Ram.

Adakah drama di atas akan berulang kembali? Hanya masa yang akan menentukan.

— BebasNews

Please follow and like us: