
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]
TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap kejayaan Datuk Hamidin Mohd. Amin mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tanpa bertanding, mampu disusuli dengan kejayaan skuad kebangsaan dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun ini.
Kata Perdana Menteri, kejayaan Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe itu mampu menjadi hadiah buat rakyat biarpun segala perkembangan dan kegiatan sukan bola sepak negara turut terkesan akibat penularan pandemik maut Covid-19.
“Saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Hamidin kerana dipilih semula selaku Presiden FAM bagi penggal 2021-2025 (selepas pencalonan ditutup 11 Februari lalu).

“Dengan pengalaman yang ada, saya yakin beliau mampu memacu bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya harap FAM di bawah kepemimpinan Hamidin, dapat menghadiahkan berita gembira untuk rakyat dengan mengemudi pasukan negara layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China,” kata Muhyiddin dalam laman Facebooknya hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi FAM yang diketuai Hamidin di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Hadir sama ialah Naib Presiden FAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) – badan pengurus Liga M, Datuk Ab. Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
Muhyiddin juga mahu bola sepak Malaysia diberikan nafas baharu malah diperkasakan semula ekoran Covid-19.
Beliau turut mengambil maklum mengenai langkah-langkah FAM dalam memastikan Liga Malaysia yang dijadualkan bermula 5 Mac ini mematuhi tatacara pelaksanaan piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak penularan pandemik berkenaan.
“Bola sepak Malaysia tidak hanya tertumpu kepada saingan Liga Malaysia sebaliknya meliputi keseluruhan rantaian sukan itu pada pelbagai peringkat seperti industri hiliran dan pengendali sukan berkaitan.
“Sukan bola sepak negara perlu diberi nafas baharu dan diperkasakan semula (biarpun) Covid-19 telah memberi kesan terhadap perkembangan dan aktiviti sukan nombor satu itu ketika ini,” katanya.
– BebasNews
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-’96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2010-17 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).