FOTO: NASA.

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

AGENSI Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah berjaya mendaratkan robot penerokaan ‘Perseverance’ di dalam sebuah kawah berhampiran bahagian khatulistiwa planet Marikh.

Timbalan pengurus projek misi, Matt Wallace berkata kapal angkasa tersebut berada dalam keadaan baik.

Sejurus selepas ‘Perseverance’ mencecah permukaan Marikh para jurutera di pusat kawalan misi NASA di California bersorak gembira, lapor bbc.com.

Kenderaan empat roda itu akan digunakan untuk meneroka kawasan berkenaan selama dua tahun bagi mendapatkan bukti sama ada pernah wujud sebarang bentuk kehidupan di Marikh.

FOTO: NASA

Penyelidikan awal mendapati bahawa ada kemungkinan wilayah khatulistiwa Marikh yang dinamakan Jezero beberapa bilion tahun lalu mempunyai sebuah tasik besar, dan di mana wujud sumber air maka mungkin ada juga kehidupan.

Isyarat bahawa ‘Perseverance’ telah mendarat diterima pada pukul 20:55 GMT dan diikuti dengan penerimaan dua imej awal dirakam oleh kamera beresolusi rendah yang agak kabur kerana lensa diselaputi debu.

Bagaimana pun, gambar-gambar tersebut menunjukkan permukaan mendatar di bahagian depan dan belakang kenderaan itu.

Analisis pasca pendaratan menunjukkan bahawa ‘Perseverance’ mencecah permukaan kira-kira 2km ke bahagian tenggara delta Jezero yang disasarkan untuk penyelidikan.

Usaha pendaratan di permukaan Marikh tidak mudah walaupun NASA dianggap mahir kerana pengalaman yang diperoleh semasa pendaratan kenderaan ‘Curiosity’ di planet tersebut pada 2021.

KENDERAAN robot ‘Perseverance’ sewaktu diuji di makmal NASA.

-BebasNews

Please follow and like us: