Oleh Adi Sukma LLM, dan Prof Emeritus Hashim Yaacob Dip Pengajian Islam

PENCALONAN bagi Anugerah Sasterawan Negara akan ditutup pada 15 Februari 2021. Anugerah ini hendaklah diberikan hanya kepada Sasterawan. Orang lain tidak berhak. Kerana nama anugerahnya pun begitu, dan DBP pun mensyaratkan begitu.

Apa makna sasterawan? DBP mendefinisinya sebagai “Orang yang menghasilkan karya sastera; Pengarang; pujangga; ahli sastera”.

DBP mendefinisi sastera sebagai “Hasil seni yang diwujudkan dalam bentuk karangan bebas atau dalam bentuk puisi; Bahasa yang digunakan dalam tulisan; Bahasa surat”.

DBP adalah Penganjur Anugerah ini di bawah Kementerian Pendidikan.

DBP telah mensyaratkan supaya pencalonan bagi Anugerah Sasterawan Negara ini hendaklah dibuat dari kalangan orang-orang yang:

1. Menghasilkan karya sastera.
2. Menyumbang fikiran yang berkaitan dengan dunia sastera.
3. Bergiat mendorong ke arah pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan.
4. Menulis karya dalam Bahasa Melayu.

Maka itu, DBP hendaklah mempertahankan syarat-syarat yang diperbuat olehnya sendiri itu walaupun digugat oleh tangan-tangan hitam yang berkuasa.

Semua panel hakim yang telah dipilih bukan hanya mesti menghadiri mesyuarat pemilihan, tetapi hendaklah terlebih dahulu mengkaji pencapaian setiap calon-calon dengan teliti, dan tidak pula mengamalkan kronisme dalam membuat pemilihan. Berlakulah adil. Utamakan integriti. Takkanlah pemilihan calon Sasterawan Negara pun akan dipengaruhi unsur-unsur rasuah yang sedang membarah di negara ini sekarang!

Jangan lupa pada Hadith yang menyebut bahawa dua pertiga daripada hakim-hakim akan masuk neraka:

Dari Buraidah RA bahwa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Hakim itu ada tiga, dua di neraka dan satu di syurga:

1) Seseorang yang menghukum secara tak benar padahal ia mengetahui mana yang benar, maka ia di neraka;

2) Seorang hakim yang bodoh lalu menghancurkan hak-hak manusia, maka ia di neraka, dan;

3) Seorang hakim yang menghukum dengan benar, maka ia masuk surga.” (HR. Tirmidzi No. 1244).

Kami maklum bahawa wujud perlembagaan yang menetapkan pelantikan panel hakim. Ketetapan ini hendaklah jangan dicabul.

Kami simpulkan: Hanya orang sastera sahaja yang layak untuk Anugerah Sasterawan Negara; Para hakim hendaklah berlaku adil dan; DBP hendaklah pastikan peraturan dipatuhi.

— BebasNews

Please follow and like us: