BUTTERWORTH: Perbicaraan kes rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isteri beliau dan seorang ahli perniagaan ditangguhkan selama tiga bulan lagi bagi membenarkan peguam pembelaan meneliti “1,000 halaman” dokumen daripada pendakwaan.

Ini merupakan penangguhan ketiga sejak Okt lepas.

Lim, isteri beliau Betty Chew dan ahli perniagaan Phang Li Khon memohon dibicarakan di Mahkamah Sessyen enam bulan lepas dan diberikan lanjutan oleh mahkamah sebanyak dua kali, selama empat bulan.

Lanjutan yang diberikan oleh mahkamah pada Okt dan Dis bertujuan membenarkan pendakwaan memfailkan lima lagi dokumen, selain mencetak semua dokumen yang dikemukakan setakat ini seperti diminta oleh pihak pembelaan.

Dokumen berkenaan sebelum ini diberikan kepada pembelaan dalam bentuk cakera padat.

Mahkamah hari ini memberi lanjutan tempoh tiga bulan selepas peguam yang mewakili Lim dan isteri, RSN Rayer berkata, dokumen “1,000 halaman” itu diserahkan kepada pasukan pembelaan pada 16 Feb.

Rayer berkata, lebih banyak masa diperlukan untuk meneliti 1,000 halaman dokumen daripada pihak pendakwaan itu.

Beliau berkata, “cabaran keperlembagaan” dan permohonan interlokutori mungkin dibuat dalam masa terdekat.

Permohonan itu juga disokong oleh peguam Phang, Ruebankumar Asokan.

Timbalan pendakwa raya Shafiq Hasim tidak membantah permohonan tersebut.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid membenarkan permohonan dan menetapkan 28 Mei untuk pengurusan kes.

Pada 11 Ogos, mereka bertiga didakwa menerima suapan berhubung projek pembinaan asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta di Pulau Pinang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkait perolehan tidak sah berjumlah RM372,000 yang diterima dalam akaun bank Chew bagi memastikan projek asrama itu diberikan kepada syarikat Phang.

FreeMalaysiaToday

Please follow and like us: