KUALA LUMPUR – Tembelang Geng Ayoi Gombak berselindung di sebalik perniagaan ayam goreng dan rokok elektronik (e-rokok) atau vape untuk ‘cuci’ duit hasil jenayah ragut akhirnya terbongkar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun termasuk ketua geng telah diberkas di Gombak, Selangor kira-kira jam 9 malam, pada 26 Januari lalu.

Menurutnya, operasi sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur itu bertindak merampas empat buah motosikal, dua kenderaan jenis Honda FD dan Toyota Vellfire selain beberapa keping nombor plat.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek masing-masing menjalankan perniagaan ayam goreng dan vape di Gombak.

“Dipercayai, hasil jenayah ragut digunakan suspek untuk membuat pusingan modal dalam perniagaan itu bagi mengaburi mata orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata, geng yang aktif sejak tahun 2018 ini akan meronda di sekitar ibu negara dengan mensasarkan mangsa yang memakai barangan kemas sebelum meragut.

Katanya, malah hasil jenayah dilakukan suspek ini mampu mencecah RM50,000 hingga RM60,000 sebulan. Polis juga percaya kenderaan mewah yang dimiliki suspek adalah duit hasil kegiatan mereka.

Tambah Saiful Azly, siasatan masih dijalankan untuk memburu dua lagi suspek termasuk seorang lelaki dikenali sebagai Angah yang berperanan sebagai pembeli emas daripada geng terbabit.

“Tumpasnya geng ini, polis berjaya menyelesaikan 300 kes di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Seksyen 4 Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sinar Harian

 

 

Please follow and like us: