Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengandaikan venue berpusat baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G, Mei hingga Jun ini bakal dipilih antara negara anggota kumpulan itu.

Katanya, ada kemungkinan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) cenderung untuk memilih negara yang memiliki angka penularan kes Covid-19 yang lebih rendah, sama ada Vietnam, Malaysia, Thailand, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia.

“Mungkin venue berpusat Kumpulan G daripada kalangan pasukan kumpulan ini juga.

“Kemungkinan juga negara itu (paling kurang kes Covid) yang jadi pilihan AFC dan kerana peraturan kuarantinnya agak longgar,” katanya kepada BebasNews.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John kelmarin memberitahu, perlawanan kelapan-lapan kumpulan kelayakan itu pada bulan depan ditunda ke Jun ini gara-gara Covid-19 yang masih membataskan persediaan kebanyakan pasukan.

TAN Cheng Hoe memerlukan beberapa perlawanan pemanas badan bagi ‘mengasah semula taring’ Harimau Malaya menjelang pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia/Asia yang disambung semula 31 Mei hingga 15 Jun ini.

AFC selepas mesyuarat secara atas talian dengan wakil-wakil pasukan terbabit dari Selasa hingga kelmarin, turut memutuskan venue berpusat bagi menghabiskan bakinya dan bukan lagi berformat timbal balik seperti jadual asal.

Memandangkan ribuan kes pandemik maut itu masih membelenggu Malaysia setiap hari malah jiran Asia Tenggara sekarang, terlalu sukar untuk meyakinkan AFC memilihnya sekali gus meninggalkan peluang yang lebih cerah buat UAE.

Angka kes Covid di UAE didapati lebih rendah malah Al Abyad ialah satu-satunya pasukan Kumpulan G yang mampu melangsungkan empat perlawanan persahabatan antarabangsa, menentang Uzbekistan, Tajikistan, Bahrain dan Iraq di Dubai.

Mengikut jadual asal pada 30 Mac, Malaysia menanti Vietnam di gelanggang sendiri manakala selebihnya bertandang ke UAE dan Thailand pada 25 Mac dan 15 Jun.

Daripada empat perlawanan lalu UAE dalam Kumpulan G, hanya sekali Al Abyad menjadi tuan rumah iaitu ketika membelasah Indonesia 5-0 di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 10 Oktober 2019.

AFC juga dalam laman sesawangnya hari ini mengumumkan jadual baharu pusingan kedua kelayakan itu dari 31 Mei hingga 15 Jun ini dengan Malaysia khususnya, bakal berdepan UAE, Vietnam dan Thailand.

Hanya empat perlawanan daripada Kumpulan B, D dan F yang dikekalkan mengikut jadual asal, 25 dan 30 Mac ini iaitu Nepal-Australia di Kathmandu, Arab Saudi-Yemen di Riyadh, Tajikistan-Mongolia di Dushanbe dan Mongolia-Jepun di Chiba.

“AFC masih meletakkan kesihatan dan keselamatan para pemain, pegawai dan semua pemegang taruh sebagai keutamaan tertinggi dan akan bekerjasama dengan persatuan-persatuan negara anggotanya bagi memantau rapat situasi.

“Sebagai sebahagian usaha memastikan kelayakan ini dapat dihabiskan, AFC akan membuka undangan kepada persatuan-persatuan negara anggota untuk menjadi tuan rumah kumpulan masing-masing dalam satu format berpusat.

“Berdasarkan kalendar antarabangsa, perlawanan kelayakan berpusat itu dijadualkan berlangsung dari 31 Mei hingga 15 Jun ini,” lapor laman the-afc.com.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap pasukannya mampu memperoleh beberapa perlawanan pemanas badan menjelang baki pusingan kedua itu yang bergantung di mana venue berpusatnya ditetapkan.

Kali terakhir mereka menikmati aksi antarabangsa hanya dengan menewaskan Indonesia 2-1 dalam Kumpulan G kelayakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 November 2019 sekali gus mengekori pendahulu, Vietnam dengan sembilan mata daripada lima perlawanan.

-BebasNews

Please follow and like us: