Kini Jamal Abdillah pula menjadi pilihan Luca Sickta dan Kmy Kmo untuk lagu Neraca.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEBELUM berpeluang membabitkan diri dalam bidang seni suara tanah air, Kmy Kmo dan Luca Sickta sudah ada perancangan tersendiri.

Ternyata duo rapper ini bijak mengatur perjalanan seni mereka dan tidak hairanlah dalam waktu singkat mereka berjaya mengukir nama dalam industri seni.

Sekali pandang, mungkin ada yang berpendapat, Luca Sickta dan Kmy Kmo bijak mencari peluang untuk mencipta nama dengan menjadikan penyanyi popular tanah air sebagai pasangan duet mereka.

Luca Sickta atau Shameer Ashraf Shahruddin dan Kmy Kmo yang nama sebenarnya Lukmanul Hakim mula dikenali selepas mereka berkolaborasi dengan Datuk M.Nasir menerusi lagu Zuhud.

Kemudian duo rapper itu memilih Datuk Seri Siti Nurhaliza pula sebagai pasangan duet menerusi lagu 7 Nasihat yang berjaya dipilih ke Anugerah Juara Lagu ke-35 yang dijangka berlangsung pada 14 Mac ini. Untuk acara itu kelak, mereka akan bergandingan dengan Shiha Zikir menggantikan Siti Nurhaliza yang sarat mengandung ketika ini.

Tidak cukup dengan dua penyanyi bergelar Datuk, kini mereka pilih Datuk Jamal Abdillah pula sebagai teman duet. Ternyata strategi mereka memang bijak. Bersama Jamal, mereka mendendangkan lagu Neraca.

Luca Sickta dan Kmy Kmo mempunyai senarai penyanyi yang mereka ingin bekerjasama.

Mengulas mengenai pemilihan penyanyi bertaraf legenda dan bergelar Datuk yang bekerjasama dengan mereka, Luca berkata, tiga nama tersebut adalah ‘wish list’ dan cita-cita mereka sejak di awal pembabitan dalam bidang penulisan dan penciptaan lagu lagi.

“Kami sudah menunggu lama peluang sebegini. Kami dari zaman sekolah lagi sudah menghasilkan muzik. Sejak itu kami bercita-cita nak bekerjasama dengan penyanyi legenda. Diakui kami memang ada senarai nama penyanyi-penyanyi itu.

“Bukan nak bekerjasama dengan penyanyi legenda yang bergelar Datuk saja, tapi ia lebih kepada ingin merealisasikan impian. Kami mahu habiskan dahulu senarai legenda. Setakat ini kami sudah selesai dengan genre yang diwakili setiap legenda itu. Tinggal lagi genre rock pula.

“Insya-Allah, selepas itu baru kami ke senarai penyanyi ‘A list’ pula. Kami sudah ada lagu dan senarai nama penyanyi. Dalam masa sama, kami juga akan buat projek bersama penyanyi baharu yang mempunyai bakat dan vokal bagus,” katanya panjang lebar.

Tambah Luca, sejak awal penciptaan lagu Neraca lagi, mereka sudah membayangkan akan menyanyi bersama Jamal Abdillah.

Selepas Wany Hasrita kini Jamal berduet dengan duo rapper Luca Sickta dan Kmy Kmo pula.

“Ketika Kmy buat rakaman demo lagu ini, dia menyanyi ala suara Datuk Jamal. Malah, dari awal lagi memang sudah pasang niat alangkah menarik jika Datuk Jamal dapat menyanyikan lagu ini. Alhamdulillah, rezeki kami dan Datuk Jamal bersetuju.

“Awalnya, muzik lain. Tapi, selepas Datuk Jamal memberikan persetujuan kami terus tukar dan masukkan elemen ghazal. Kami berasakan muzik tradisional ini tidak boleh dilupakan oleh generasi baharu walaupun ia dipersembahkan dalam versi moden. Kalau peminat lama mendengar lagu ini pun, mereka tetap akan mengenali muzik ini.

“Sepanjang proses rakaman, Datuk Jamal sangat mengalu-alukan kami. Kami menjangkakan dia seorang legenda yang ‘diva’, tapi dengan kami dia okey. Tidak ada langsung rasa kekok, sebaliknya dia sangat mudah bekerjasama, profesional dan merendah diri. Sikap yang ditunjukkan itu tidak membuatkan kami rasa takut dan segan,” kata Luca lagi.

Sementara itu, jelas Kmy Kmo, lagu Neraca yang bergenre hip hop dengan gabungan muzik ghazal dan reggae itu lagu sudah dihasilkan sejak 2018 lagi. Lagu Neraca diperam selama dua tahun dan menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.

“Melodi lagu Neraca ini sudah siap sejak 2018 lagi. Selepas itu kami simpan sebab tunggu masa sesuai untuk disiap dan dilancarkan. Alhamdulillah, pertengahan tahun lalu, kebetulan Datuk Jamal ada kerjasama dengan syarikat rakaman Universal Music Malaysia.

“Dari situ kami ambil peluang menawarkan lagu Neraca ini kepadanya. Selepas bentang dan perdengarkan melodi lagu ini, dia terus kata okey dan bersetuju. Jadi, proses rakaman dibuat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ambil masa tidak sampai sejam.

“Ketika proses rakaman, dia tanya boleh tak kalau dia mahu buat sedikit perubahan pada nyanyian. Mendengarkan pertanyaan itu, kami sebenarnya lebih suka. Jadi, dia buat adlib dan lenggok tersendiri. Sekali dengar lagu ini pun sudah tahu itu suara Datuk Jamal. Cara itu mengingatkan kami kepada Datuk Siti ketika rakaman 7 Nasihat yang mana turut bertanya perkara sama,” katanya.

Tambah Kmy Kmo lagi, sebenarnya Neraca boleh dikatakan kesinambungan daripada lagu Zuhud yang dilancarkan pada Disember 2019.

Duo rapper ini bijak mengatur strategi dalam mengharungi kerjaya seni mereka.

“Bagi kami, lagu Neraca ini adalah kesinambungan mesej lagu Zuhud. Jadi dalam lagu ini ia merangkumi keseluruhan dan seimbangkan mengenai kehidupan yang berlaku sekarang. Apatah lagi dalam zaman media sosial, gejala sosial semakin menjadi-jadi.

“Faktor terbuka dijadikan alasan untuk buat masalah. Disebabkan itu, dalam lirik lagu ini kami menyentuh soal ketuhanan. Malah, dalam video muzik pula mengenai manusia yang terikat dan suka leka dengan apa yang ada di atas muka bumi.

“Cuma apa boleh dikatakan, muzik lagu ini berat dari Zuhud. Apa pun ikut selera pendengar juga. Mungkin ada yang suka dan sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Jamal Abdillah menyifatkan kerjasama dengan Kmy dan Luca dalam lagu Neraca adalah satu pengalaman baharu selain menyifatkan kedua mereka sangat berbakat.

“Proses rakaman sangat santai, mudah dan tidak terlalu sukar. Kerja dengan anak muda memang seronok dan mereka berdua sangat berbakat.  Begitu juga ketika proses penggambaran video muzik, ia penuh erti yang tersurat yang perlu dihayati.

“Mesej yang ingin disampaikan agak kuat. Ia berkisar mengenai perjalanan manusia dalam menempuh peredaran masa sebagai manusia biasa. Banyak mesej bagus dan ditampilkan dengan keunikan yang lain daripada lain. Ia sekali gus membuatkan lagu ini sesuatu yang sangat bererti buat saya sebagai penyanyi era lama dalam penghasilan video muzik.

“Jadi, harapan saya untuk lagu ini sangat tinggi dan semoga ia diterima oleh pendengar muzik terkini, terdahulu dan ketika zaman saya. Ini kerana lagu ini menggabungkan kedua-dua generasi. Melodi dan muzik lagu ini agak unik termasuklah rap yang disampaikan sangat bermakna dan kena hayati,” katanya.

Lagu Neraca dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer, KKBox dan YouTube Music bermula pukul 9 malam, 19 Februari 2021. Manakala video muzik rasmi lagu Neraca boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

-BebasNews

Please follow and like us: