Oleh AMREE AHMAD


TERANCAM… Langkah Kementerian Pengangkutan mahu mewujudkan ‘lesen khas’ untuk p-panggilan di negara ini dijangka beri risiko besar kepada penunggang perkhidmatan itu.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani malah berkata, pihaknya sedia ‘lawan’ jika usaha itu menjejaskan nasib 60,000 penunggang terbabit.

“Sejak diumumkan kementerian itu pada Ogos tahun lalu, kami berasa bimbang kerana akta atau dasar digubal untuk penunggang p-panggilan mungkin beri kesan tidak baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi diminta mengulas pertemuan dengan pihak kementerian itu pada 24 Februari yang dikatakan ada kaitan isu kawal selia p-panggilan.

Perkhidmatan itu yang turut dikenali sebagai p-hailing mula popular dalam kalangan rakyat negara ini apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu.

P-panggilan merujuk khidmat penghantaran barangan berbayar atas talian dengan motosikal dan turut menjadi pilihan pelanggan yang bekerja dari rumah untuk menempah makanan.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, kebimbangan persatuan itu ada asas kewajarannya dengan melihat contoh buruk yang dialami ramai pemandu kereta perkhidmatan e-panggilan.

“Tengoklah apa berlaku kepada pemandu ini yang lazimnya dirujuk e-hailing, soal kebajikan mereka pun pihak kerajaan masih gagal bantu macam nasib malang dialami teksi,” jelasnya.

Justeru, beliau meminta kementerian itu tidak tergesa-gesa mewartakan peraturan baharu, tetapi menyusahkan pula penunggang p-panggilan yang sebahagian besar golongan rentan.

Apatah lagi ujarnya, kementerian itu hanya ‘dengar nasihat’ Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) konon majoriti penunggang p-panggilan mudah terlibat nahas.

“Padahal, kajian itu boleh diragui kerana banyak kes kemalangan bukan disebabkan kecuaian kami, tetapi akibat kelemahan sistem ‘dicipta’ syarikat penyedia perkhidmatan ini,” tegasnya.

Abdul Hakim berpendapat biarlah undang-undang yang akan dirangka itu kelak bersifat situasi ‘menang-menang’ untuk kedua-dua pihak penunggang dan juga operator firma p-panggilan.

Bagaimanapun setakat ini, pihaknya khuatir kerajaan lebih bersifat ‘syok sendiri’ apabila buat peraturan tanpa mendapat pandangan persatuan itu yang mewakili para penunggang terbabit.

“Bayangkan, Kementerian Sumber Manusia sampai sekarang tidak respons hasrat kami untuk bincang kebajikan penunggang, waima surat sudah dihantar kepada menteri,” katanya kesal.

Begitu juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, setakat ini belum pernah tetapkan harga siling bagi kawal selia perkhidmatan itu agar lebih sistematik.

Kelompangan ini jelasnya, menyebabkan penyedia p-panggilan dari luar negara itu bebas buat apa sahaja kepada penunggang kerana sedar pihak kerajaan tidak akan serius pantau.

“Ramai ‘rider’ mengadu ditindas sesuka hati oleh operator yang tahu tiada siapa pun peduli kebajikan kami selain cantas komisen konon sebab pelanggan bising,” kata Abdul Hakim.

BebasNews
Please follow and like us: