Oleh Arrazaq Nazri

SUNTIKAN vaksin bagi mencegah jangkitan Covid-19 yang dijadualkan bermula selepas 26 Februari depan diharap menjadi usaha terbaik bagi mengekang pandemik yang mengorbankan lebih 1000 orang di negara ini.

Di peringkat dunia, senarionya lebih menakutkan apabila pandemik Covid-19 telah meragut lebih sejuta nyawa.

Pada saat ini negara kita masih berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri terutama di Selangor yang mencatatkan kes mencecah lebih dua ribu setiap hari.

Bekalan vaksin dijangka sampai pada esok (21 Fabruari) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin akan menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam sejarah proses vaksinasi yang belum pernah berlaku di Malaysia.

Dengan Muhyiddin merelakan dirinya menjadi ‘tikus makmal’, pengorbanan beliau diharap dapat meyakinkan penduduk Malaysia untuk mendapatkan suntikan yang telah difatwakan sebagai halal sebelum ini.

Kerajaan menyasarkan 80 peratus penduduk atau 26 juta individu bakal menerima suntikan vaksin secara percuma manakala 126,000 individu dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 setiap hari melibatkan 600 lokasi yang ditetapkan di seluruh negara.

Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tersebut terbahagi kepada tiga fasa. Fasa pertama melibatkan pemberian vaksin kepada 500,000 petugas hadapan seperti kakitangan kesihatan dan bukan kesihatan. Fasa tersebut akan tamat pada April depan.

Fasa kedua pula bermula April sehingga Ogos depan meliputi pemberian vaksin kepada seramai 16 juta orang berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas, golongan rentan yang mengalami penyakit kronik seperti penyakit penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serta Orang Kurang Upaya (OKU).

Fasa ketiga seterusnya, membabitkan pemberian vaksin bagi golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas dan ia merupakan fasa paling penting untuk membentuk imuniti kelompok dengan sasaran 16 juta orang, bermula Mei hingga Februari 2022.

Pengumuman berkaitan dengan proses vaksinasi ini sebenarnya telah menimbulkan perasaan yang bercampur baur antara gembira dan juga menakutkan apabila masyarakat dimomokkan dengan pelbagai cerita-cerita yang negatif.

Pelbagai kisah yang tular sehingga ada rakyat yang berkata mereka sanggup memakai pelitup muka seumur hidup.

Apa yang membimbangkan setakat mana sebenarnya penerimaan sebenarnya masyarakat terhadap suntikan vaksin ini? Benarkan vaksin ini diyakini ramai sebagai ubat yang mujarab dan bukannya mudarat?

Sehubungan itu, media perdana dan sosial perlu dipenuhi kempen memberi keyakinan kepada rakyat bahawa vaksin yang diterima adalah selamat.

Kerjasama semua pihak perlu termasuk pakar dan doktor perlu meyakinkan semua pihak yang terbabit dan tiada diskriminasi wujud bagi mereka yang secara sukarela enggan mendapatkan suntikan berkenaan.

Kerajaan juga perlu menyediakan insentif dan juga pampasan sekiranya suntikan vaksin memberikan kesan yang sampingan.

Sebagai contoh, Singapura menyediakan Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin bernilai kira-kira RM30,500 bagi mereka yang mengalami kesan sampingan selepas mengambil vaksin Covid-19. Program itu memberikan ganti rugi kira-kira RM680,000 sekiranya seseorang meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal yang teruk.
Manakala, di United Kingdom, Skim Pembayaran Kerosakan Vaksin memberikan pelindungan hingga RM670,000 jika orang yang menerima suntikan cacat parah akibat vaksinasi.

Pemberian pampasan itu bukan bermakna suntikan vaksin tidak selamat tetapi sebagai insurans kepada mereka yang mungkin berdepan dengan masalah kerana secara umumnya penawar yang ditemukan belum tentu berkesan untuk semua.

Tambahan pula, mereka yang disuntik juga mungkin merupakan ‘bread winner’ dalam keluarga. Sekiranya sesuatu yang buruk berlaku pastinya hilanglah orang yang selama ini menjadi tempat pergantungan.

Bersandarkan senario semasa, kerajaan perlu berusaha lebih gigih untuk meraih keyakinan daripada rakyat. Kegagalan untuk memberikan suntikan kepada sejumlah besar kelompok akan pasti menyebabkan negara kembali berdepan kesukaran untuk menangani Covid-19.
Kata orang, biarpun kita mengharap yang terbaik, kita jua perlu bersedia dengan senario yang lebih buruk.

– BebasNews

Please follow and like us: