FOTO: Fandom.

Oleh Ahmad Abd Hamid

BAYANGKAN panggilan ini: ‘Mr President Johnson’ atau ‘Mr President Rock’. Belum terjadi tetapi situasi inilah yang akan terjadi jika aktor Dwayne Johnson, 48, yang lebih dikenali dengan nama ‘The Rock’ menjadi presiden Amerika.

Bekas ahli gusti yang mencipta nama sebagai bintang filem itu melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden Amerika pada 2032. Pilihan raya presiden selepas ini ialah pada 2024 dan 2028 sebelum 2032.

Kenapa tidak? Dua bekas pelakon Hollywood, Ronald Reagan dan Arnold Schwarzenegger telah melakukannya sebelum ini. Kedua-duanya pernah menjadi gabenor California, Reagan sebagai gabenor ke-33 dari tahun 1967 hingga 1975. Arnold yang popular dengan filem The Terminator pula menjadi gabenor ke-38 dari 2003 hingga 2011.

Tetapi langkah Reagan lebih ke hadapan. Dia yang membintangi filem antaranya The Killers, Law and Order serta Bedtime for Bonzo, terpilih menjadi presiden Amerika ke-40 setelah memenangi pilihan raya pada 1980 menewaskan Presiden Jimmy Carter, menjadikan Carter presiden satu penggal.

Reagan yang meninggal pada 2004 memegang jawatan untuk tempuh dua penggal penuh dari 1981 hingga 1989. Pada pilihan raya presiden 1984 dia menang besar menewaskan bekas naib presiden, Walter Mondale.

Mungkin kejayaan Reagan menjadi inspirasi kepada Johnson untuk menduduki White House. Penyokong Demokrat itu memilih 2032 dan ketika itu umurnya 60 tahun. Masih dianggap muda kerana Joe Biden yang memenangi pilihan raya 2020 dan kini presiden Amerika ke 46 berusia 78 tahun.

The Rock adalah antara artis paling kaya di dunia dengan aset berjumah AS320 juta (RM1.3 bilion). Antara filem popular lakonannya ialah Jumanji, Fast & Furious, Jungle Cruise, Black Adam, Fighting With My Family, Skycrapper, The Suicide Squad, Rampage dan lain-lain.

Memetik sky news, Johnson berkata dia memang berminat untuk ke White House dan ini bukan kenyataan main-main. Dia bersedia bertanding jawatan presiden jika itu yang dikehendaki oleh orang ramai. Oleh itu dia akan mendengar dan menunggu suara orang ramai sebelum membuat keputusan.

Sebelum ini Johnson, yang berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dari Universiti Michigan State pada 1995 dan bekas guru, pernah memberitahu akan bertanding pilihan raya presiden 2020. Tetapi dia membatalkan hasratnya dan memberi sokongan kepada Joe Biden.

Baru-baru ini, siri baharu TV lakonannya bertajuk ‘Young Rock’ terbitan NBC (National Broadcasting Company) dilancarkan. NBC adalah antara tiga rangkaian TV terbesar di Amerika, selain CBS (Columbia Broadcasting System) dan ABC (American Broadcasting Company).

Dalam siri komedi ini, Johnson sendiri memenangi watak penting. Keseluruhannya ia  mengisahkan perjalanan hidupnya dan ranjau dilalui sejak kecil hingga sekarang.

Dalam siri ini turut digambarkan dia berkempen untuk jawatan presiden pada 2032. Kemungkinannya kerana itulah juga dia meletakkan sasaran bertanding sebenar pada tahun tersebut.

Menurut Johnson, seperti juga jika dia bertanding adalah atas kehendak rakyat, maka apabila dia terpilih dia akan berbakti kepada rakyat dan sentiasa mendengar masalah  mereka.

Mungkinkah beberapa tahun lagi akan sekali kedengaran suara ‘Mr President Johnson’? Sebelum ini sudah ada ‘Mr President Johnson’ apabila Lyndon B Johnson (LBJ) yang ketika itu naib presiden dilantik menjadi presiden Amerika ke-36 apabila Presiden John F. Kennedy ditembak mati di Dallas, Texas, pada 22 November 1963.

Presiden Johnson yang meninggal pada 1973 di Texas, menduduki White House dari tahun 1963 hingga 1969.

Adakah Dwyane Johnson akan menjadi ‘Mr President Johnson’ kedua? Atau mungkinkah dia mengizinkan dipanggil ‘Mr President Rock’?

-BebasNews

Please follow and like us: