fotoBERNAMA

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

TIMBALAN presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan  yang mempersoalkan keputusan Kementerian Pendidikan untuk membuka semula sekolah bulan depan menyifatkan tindakan tersebut sebagai sela menyela (flip-flop).

Dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman Facebook hari ini beliau berkata kementerian tersebut perlu hentikan tindakan sebegitu kerana ia hanya membebankan pelajar dan ibu bapa.

Menurut beliau ramai ibu bapa telah mengharungi pelbagai kepayahan untuk membeli peralatan digital untuk pembelajaran dalam talian anak-anak mereka dan bagi yang mempunyai keluarga besar dan berpendapatan rendah perkara itu amat menyukarkan.

Beliau berkata inisiatif kerajaan melancarkan saluran pendidikan khas, DidikTV bagi memudahkan pembelajaran dari rumah dan kemudian mengumumkan pembukaan sekolah memberi isyarat mengelirukan tentang arah sebenar kaedah pendidikan digital kementerian berkenaan.

Mohamad berkata adalah lebih bijak bagi kementerian tersebut memantapkan pembelajaran digital ketika negara sedang berusaha untuk mengatasi pandemik Covid-19.

Pada sidang media semalam Menteri pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata pelajar dibenarkan untuk kembali ke sekolah secara berperingkat bermula pada 1 Mac depan.

Minggu pertama membabitkan murid prasekolah, Darjah Satu dan Dua, diikuti dengan pelajar sekolah rendah yang lain pada minggu berikutnya bermula 8 Mac.

Pelajar sekolah menengah akan meneruskan kelas secara fizikal bermula 4 April atau 5 April, tertakluk kepada negeri-negeri tertentu. Sekolah di Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu akan dibuka pada 4 April, sementara negeri-negeri lain pada 5 April.

Document2

-BebasNews

Please follow and like us: