Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah baharu, bahkan bermula sejak bulan Mac 2020. Bagaimana boleh wujud kekeliruan dalam kalangan pihak yang sepatutnya menguatkuasakan kawalan.

Apa sudah jadi? Sepatut termaktub satu standard tetap dalam merentas daerah dan juga negeri melibatkan sempadan. Pos kawalan boleh bertukar, tetapi had sempadan yang sudah wujud sejak sekian lama, pastinya tidak berubah-ubah.

Begitu halnya dengan syarat merentas daerah di negeri Selangor.

Sebagai contoh jika penghuni rumah di Shah Alam ingin ke Subang Jaya di daerah Petaling iaitu daerah yang sama, perlukah kebenaran merentas daerah dipohon.

Isunya Subang Jaya dan Shah Alam masing-masing ada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), adakah perlu memohon surat rentas daerah.

Baru-baru tular kisah seorang gadis disaman kerana merentas dari Subang Jaya ke Bukit Jelutong.

Ibu gadis tersebut dalam catatannya berkata, adakah Subang Jaya dan Shah Alam merupakan dua daerah berbeza?

Sedangkan mengikut pemahamannya Shah Alam dan Subang Jaya terletak dalam satu daerah iaitu Petaling.

Sang ibu difahamkan bahawa saman dikeluarkan atas dasar pergerakan dari kawasan IPD Subang Jaya dan kawasan IPD Shah Alam adalah dua ‘daerah’ berbeza.

Kesudahan kepada ‘kekeliruan’ tersebut, saman yang dikenakan perlu dibayar di Pejabat Kesihatan Kelana Jaya, dan apabila kebenaran untuk ke kawasan tersebut dipohon difahamkan ia tidak perlu pula.

Lebih meletihkan, pejabat kesihatan yang dihubungi ibu berkenaan menyarankan keluarga tersebut merayu kompaun dibatalkan kerana Subang Jaya adalah dalam satu daerah. Sungguh memeningkan sekali.

Pihak berkuasa sepatutnya memudahkan rakyat yang sudah kepayahan. Malah untuk mendapatkan surat kebenaran untuk merentas daerah dan negeri pun mengambil tempoh apabila kadangkala kaunter di balai polis dilihat hanya seorang sahaja bertugas.

Untuk rujukan sembilan daerah tersebut adalah, Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Selangor, Petaling, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang.

– BebasNews

Please follow and like us: