FOTO: Texas Tribune.

Oleh Fetty Rara

PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden bakal mengisytiharkan keadaan bencana besar di Texas bagi membuka jalan kepada aliran bantuan dana persekutuan.

Walaupun bekalan elektrik semakin pulih dan suhu semakin naik, namun lebih 13 juta penduduk negeri itu masih berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan air bersih.

Menurut BBC Biden akan melawat Texas sekira kehadirannya di negeri itu tidak membebankan usaha-usaha bantuan yang sedang berjalan.

Setakat ini hampir 60 kematian dicatat disebabkan cuaca sejuk di serata AS.

Jurucakap White House Jen Psaki mengesahkan bahawa Biden telah mengarahkan para pegawainya supaya mempercepatkan pengisytiharan keadaan bencana besar di negeri itu.

Selain itu, Biden turut saling berhubungan dengan datuk bandar beberapa bandar raya di Texas, termasuk Houston, Austin, dan Dallas bagi memastikan kesemuanya mendapat bantuan daripada sumber kerajaan pusat.

Beberapa negeri di selatan AS turut dilanda ribut ais dan salji sepanjang minggu lalu hingga menyebabkan bekalan air terputus.

Cuaca musim sejuk yang melampau juga menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 150,000 penduduk di bandar raya Jackson, Mississippi.

Keadaan sejuk luar biasa itu amat jarang berlaku membabitkan wilayah-wilayah selatan AS hingga bekalan air paip menjadi beku dan pengguna terpaksa memasak gumpalan salji untuk mendapatkan air.

Keadaan terlalu sejuk yang melanda Texas adalah punca rangkaian bekalan elektrik di wilayah itu terjejas kerana tahap penggunaan terlalu tinggi oleh pengguna bagi memanaskan rumah berikutan suhu yang menjunam hingga serendah -18 ° Celsius.

-BebasNews

Please follow and like us: