ABDUL Halim Kader (baju merah) sentiasa berganding bahu memajukan sepak takraw Asia dan dunia dengan (dari kiri), Asnawi Abdul Rachman (Indonesia), Huang Chung-jeng (Taiwan) dan Syafrizal Bahtiar (Indonesia).

Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

REKOD pencapaian yang terbukti, diperkasa dengan manifesto dan wawasan baharu, meletakkan Abdul Halim Kader di posisi ‘Tekong’ Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang sukar digugat dua pencabarnya dalam Kongres pemilihan 1 Mac ini.

Dalam pengundian elektronik (e-voting) atas talian itu, beliau ditentang Datuk Seri Ahmad Ismail yang juga Timbalan Presiden Astaf dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) serta Mohd. Nasri Haron, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses).

Sejak menerajui Astaf pada 2004, kepemimpinan Halim, 70, membawa pelbagai revolusi yang memartabatkan sukan tradisi bangsa Melayu ini sehingga menambah acara-acara baharu dan menawarkan lebih banyak pingat emas Sukan SEA dan Sukan Asia.

Dasar pengagihan pingat bagi memecah monopoli negara tertentu pada kedua-dua temasya itu, turut merintis kemunculan kuasa-kuasa baharu sepak takraw selain Malaysia dan Thailand seperti Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar.

Daripada hanya regu berpasukan dan antara regu, Astaf pimpinannya memperkenalkan acara beregu, gelung, pantai, kuadran malah tidak lama lagi campuran termasuk meneroka ke Sukan Pantai Asia mahupun Sukan Dalam Dewan dan Seni Tempur Asia (AIMAG).

AIMAG Keenam, 2022 di Thailand menawarkan sehingga 11 pingat emas sepak takraw iaitu regu berpasukan lelaki, regu berpasukan wanita, regu campuran berpasukan, beregu campuran, beregu campuran berpasukan, antara regu campuran, kuadran campuran, kuadran campuran berpasukan, gelung lelaki, gelung wanita dan gelung campuran.

“Manifesto dan wawasan baharu saya menjelang pemilihan Majlis Astaf penggal 2021-2025 ialah terus mengukuhkan posisi sepak takraw atau meluaskan acara-acaranya dalam empat Sukan Asia berturut-turut.

“Temasya itu ialah Hangzhou (China) 2022, Nagoya (Jepun) 2026, Doha (Qatar) 2030 dan Riyadh (Arab Saudi) 2034,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), kepada BebasNews

Malah wawasan terdekat katanya yang pasti menggembirakan negara-negara anggota Astaf khususnya dari rantau Asia Tenggara ialah kemunculan acara baharu bawah 23 tahun dalam Sukan SEA Hanoi 2021, November ini.

“Pengenalan acara bawah 23 ini bukan sahaja di Hanoi 2021 bahkan di Kemboja 2023, akan menambah peluang baharu negara-negara Asia Tenggara meraih pingat emasnya. Cadangan sama, turut akan dikemukakan dalam Sukan Asia Nagoya 2026 dan Doha 2030,” katanya.

Astaf tegasnya, turut sedia memasukkan kategori bawah 17 dan 21 tahun dalam Kejohanan Dunia 2022 di Bangkok – satu langkah drastik namun perlu demi perubahan dalam menjamin sepak takraw terus relevan menjelang ke Sukan SEA dan Asia.

Dalam pengundian elektronik (e-voting) atas talian Kongres itu, Halim ditentang Datuk Seri Ahmad Ismail yang juga Timbalan Presiden Astaf dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) serta Mohd. Nasri Haron, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses).

Inilah kali pertama kerusi Nombor 1 Astaf dicabar malah menghadapi saingan tiga penjuru sejak Charouck Arirachakaran dari Thailand menyerahkannya kepada Halim pada 2004 dengan sokongan mutlak 16 negara anggota ketika itu..

Ahmad turut menjadi Timbalan Presidennya mulai tahun yang sama namun pernah diketepikan sepenggal, 2012-2016 sebelum kembali ke jawatan itu bagi 2016-2021.

Terdapat 25 negara kerabat Astaf dengan setiap perwakilannya boleh mengundi seorang daripada tiga calon Presiden, dua daripada empat calon Timbalan Presiden dan lapan daripada 10 calon Naib Presiden serta 10 daripada 14 calon Ahli Majlis.

Antara negara baharu Astaf sejak diterajui Halim pada 2004 ialah Macau, Taiwan, Hong Kong, Nepal, Oman, Iraq dan Afghanistan.

Lain-lain termasuk Bangladesh, Brunei, Kemboja, China, India, Indonesia, Iran, Jepun, Korea Selatan, Laos, Malaysia, Myanmar, Pakistan, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.

-BebasNews

Please follow and like us: