SERAMAI 76 ahli parlimen, adun dan senator pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama bagi menggesa perbincangan segera diadakan oleh pelbagai pihak untuk merangka garis panduan media yang lebih adil dan saksama.

Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan portal berita Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

“Kami berpandangan ia tidak munasabah dan tidak adil untuk mempertanggungjawab sesebuah portal berita di atas pandangan pembacanya.

“Tidak boleh dinafikan bahawa portal berita tersebut telah memadam komen-komen yang menyinggung perasaan 12 minit selepas komen-komen tersebut dibawa ke perhatian pihak pengurusan portal. Kerjasama penuh telah diberi untuk memadam komen-komen tersebut,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan pemimpin politik dari PKR, DAP, Amanah, Warisan dan juga bekas menteri kabinet Pakatan Harapan (PH) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Maszlee Malik.

Menurut mereka, keputusan ini memberi mesej yang amat membimbangkan kepada rakyat Malaysia bahawa kebebasan media dan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan semakin dikekang.

“Media adalah salah satu tiang seri demokrasi. Kebebasan media merupakan salah satu benteng demokrasi yang sihat.

“Oleh itu, kami menyokong penuh gesaan Majlis Peguam agar digubal undang-undang khusus untuk menentukan takrif ‘penghinaan’ secara teliti, yang seterusnya akan menjadi panduan berguna untuk menegakkan hak bersuara dan kebebasan,” kata mereka.

Selain itu mereka turut mengingatkan kerajaan bahawa media yang bebas dan berani menjamin ketelusan dan wacana awam yang tidak berat sebelah.

“Oleh itu, amatlah penting hak bersuara wartawan dan pengamal media diberi perlindungan oleh undang-undang dan pihak kehakiman,” kata kenyataan bersama itu.

Semalam Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 6-1 memutuskan Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembacanya.

Jabatan Peguam Negara memohon Malaysiakini didenda sebanyak RM200,000 namun panel hakim yang bersidang menetapkan portal berita terbabit didenda RM500,000.

Bagaimanapun, kutipan sumbangan daripada orang ramai berjaya mengumpul lebih RM500,000 dalam masa kurang lima jam bagi membayar denda berkenaan.

https://bit.ly/2OY6se7
Please follow and like us: