SEPANG — Stok pertama Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang dibawa sebuah pesawat khas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.

Pesawat MH604 yang membawa sebanyak 312,390 dos vaksin tersebut mendarat pada pukul 10.07 pagi.

Penghantaran dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) menggunakan pesawat Airbus 330-300.

Setelah mendarat stok vaksin itu segera dimasukkan ke dalam peranti muatan unit (ULD)dan terus dipindahkan ke trak untuk  dihantar ke tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL, iaitu di Subang, Selangor; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai, Johor.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin vaksin tersebut akan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan vaksin seluruh negara.

Penghantaran ke Pulau Pinang dijadual tiba  pada pukul 6 petang ini.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan pasukan pengiring untuk jaminan keselamatan bagi setiap pergerakan vaksin COVID-19 yang tiba di negara ini.

Beliau berkata seramai 150 anggota PDRM ditugaskan untuk mengiringi 312,390 dos vaksin itu, selain penglibatan aset-aset PDRM seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda polis dan balai polis bergerak.

Menurut Azri pergerakan vaksin berkenaan untuk penghantaran ke 16 PSV milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor akan dimulakan esok.

-BebasNews

Please follow and like us: