Oleh Arrazaq Nazri

PUTRAJAYA – Seramai 401,105 calon telah mendaftar bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara bermula Isnin ini hingga 25 Mac ini.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya di sini berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut, seramai 48,014 petugas peperiksaan telah dilantik.

“Lembaga Peperiksaan turut mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa,kod dan kertas peperiksaan dan arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung. Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my.

“Calon juga diingatkan supaya membawa Dokumen Pengenalan Diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, kesemua calon juga perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan serta mencegah penularan wabak Covid-19.

– BebasNews

Please follow and like us: