Oleh Rabiatul Adawiah Koh Abdullah

KUALA LUMPUR – Terdapat penekanan yang salah tentang naratif sejarah Malaysia dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang dilihat boleh mengancam keselamatan negara.

Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, buku ini akan memberi kesan kepada pemikiran dan pengetahuan pelajar dan guru pada setiap tahun persekolahan.

“Apabila rakyat muda atau generasi baru tidak tahu sejarah negara kita, sesuatu yang buruk pernah berlaku dulu mungkin akan berulang semula. Saya lihat ini salah satu cara mengubah sejarah dan memberi penekanan kepada pihak lain untuk mengubah fakta sebenar. Malah, sejarah sebenar tidak diangkat.

“Penceritaan peranan Parti Komunis Malaya (PKM) tidak mengikut fakta yang sebenar. Ia seolah-olah mahu rakyat menerima bahawa PKM terlibat dalam kemerdekaan,” katanya dalam webinar khas BST4-Pintas: Buku Sejarah Tingkatan Empat dan buku Tommy Thomas: Agenda Siapa? anjuran Pertubuhan Intelektual Negara yang berlangsung semalam.

Selain Musa Hasan, ahli panel lain yang terlibat ialah Pengerusi Sekretariat BST4, Datuk Dr Mohd Ghazali Md Noor, Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff dan moderator oleh Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid, Puan Sri Fatini Yaacob.

Tambah Musa Hasan, penerbitan buku teks Sejarah ini seolah-olah mengiktiraf PKM. Fakta ditokok tambah sedangkan PKM tidak pernah berjuang mendapatkan kemerdekaan.

“Hakikatnya, mereka hanya memperjuangkan pemberontakan kerana mahu mengambil alih pucuk pimpinan negara waktu itu untuk mewujudkan negara komunis. Sebab itulah, pihak British pada waktu itu mengharamkan PKM kerana memberi ancaman kepada negara.

“Saya melihat penulisan buku ini tidak menunjukkan akademik sebaliknya hanya berasaskan politik strategi. Perkara ini boleh mendatangkan bahaya kepada negara dan masyarakat kerana orang boleh memanipulasi sejarah tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Musa tidak menafikan, penerbitan buku teks ini ada kaitan dengan Pakatan Harapan kerana ia diterbitkan dan dicetak pada era pemerintahan mereka.

Katanya, adalah lebih baik buku ini diperhalusi semula bagi memberi gambaran dan naratif sebenar sejarah negara.

– BebasNews

Please follow and like us: