Oleh Ahmad Abd Hamid

LAPTOP atau komputer baharu sudah dibeli. Banyak wang dibelanjakan, apatah lagi jika ramai anak cucu yang perlu belajar online, baik pelajar sekolah atau universiti. Internet juga dilanggan atau ditambah kelajuan. Kerana sekarang Internet sukar diperoleh daripada penyelia perkhidmatan disebabkan port penuh, data telefon perlu ditambah.

Semua ini adalah persiapan untuk anak cucu yang terpaksa belajar melalui Pelajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR) akibat sekolah atau universiti ditutup kerana pandemik Covid-19.

Selain itu sebagai usaha mempertingkat PdPR ini, TV Pendidikan baharu sahaja dilancarkan melalui saluran TV7 sebagai membantu kelancaran pelajaran dan pembelajaran (P&P) dari rumah.

Semua keperluan sudah siap. Tiba-tiba Menteri Pelajaran, Datuk Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sekolah akan dibuka semula secara berperingkat mulai 1 Mac. Sudah banyak mengeluarkan belanja, sudah bersiap sedia dan bertekad untuk belajar dari rumah, sekarang boleh pula pergi ke sekolah.

Jika ada ibu bapa yang marah dengan sikap Kementerian Pelajaran ini memang difahami. Bukan mudah mengeluarkan banyak wang untuk menyediakan keperluan belajar dari rumah, apatah lagi bagi penduduk luar bandar yang hidup serba sederhana, selain capaian Internet yang kerap tidak memuaskan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, turut mempersoalkan keputusan Kementerian Pelajaran ini yang dianggap sebagai sela menyela (flip flop). Beliau mahu perbuatan itu dihentikan kerana ia hanya membebankan ibu bapa.

 Sekarang semua keputusan asyik flip flop

Betapa tidak, ibu bapa, terutama yang berpendapatan rendah, telah mengharungi pelbagai kepayahan membeli peralatan digital untuk pembelajaran online, namun usaha itu bagai tidak bermakna. Mereka seolah-olah dipermainkan.

Banyak pihak kini keliru. Lebih mengelirukan kerana kerajaan telah melancarkan saluran Pendidikan khas, Didik TV, bagi memudahkan pembelajaran dari rumah. Tiba-tiba diumumkan  sekolah dibuka.

Ibu bapa yang jelas tidak puas hati meluahkan kemarahan melalui media sosial. Kata mereka, waktu ibu bapa berhabis duit membeli pakaian dan peralatan sekolah anak, sekolah ditutup.

Apabila ibu bapa bergolok bergadai membeli tab, laptop dan sebagainya untuk PdPR, sekolah dibuka pula. Mereka bertanya, kerajaan hendak apa sebenarnya? Nak habiskan duit rakyat? “Ingat kami cap duit?” luah mereka.

Mereka juga menekankan, parlimen tidak seharusnya ‘ditutup’ sebab sekarang semua keputusan asyik flip flop, menyusahkan semua pihak daripada ibu bapa sehingga guru-guru.

Ada pula yang berkata, TV Pendidikan baharu sahaja dilancar. Emak bapa baru bergolok gadai membeli tab dan gajet. Guru pula baru siap jadual PdPR 2.0. Lepas itu umum sekolah buka. Apa benda ni?

Jelas Kementerian Pendidikan dan menterinya bagai tidak pasti arah tujuan sebenar dalam menangani isu P&P di musim Covid-19 ini. Keputusan dibuat sesuka hati tanpa memikirkan kepayahan yang ditanggung oleh ibu bapa serta guru. Mereka merasakan telah menjadi mangsa.

Guru-guru keliru dan kesal kerana segala tumpuan telah dicurahkan bagi melaksanakan PdPR. Kini dengan perubahan terbaharu pastinya akan merencatkan segala daya usaha yang mereka buat sebelum ini.

Pihak sekolah juga pastinya kelam kabut mengubah suai kelas. Jika sebelum ini dalam satu kelas memuatkan 30 murid misalnya, dengan penjarakan fizikal jumlah kapasiti berkurangan. Perlu pula mencari kelas lain bagi menampung lebihan. Bagaimana pula kaedah pengajaran serta pembahagian guru apabila kelas dipecahkan? Adakah bermakna beban guru bertambah?

Sepatutnya dalam kemelut Covid-19 dan negara bergelut untuk memutuskan rangkaiannya, Kementerian Pelajaran mesti memantapkan P&P digital, bukan membuat keputusan flip flop.

Menurut perancangan, murid-murid akan dibenarkan kembali ke sekolah secara berperingkat mulai 1 Mac. Minggu pertama membabitkan murid prasekolah, darjah satu dan dua. Ini diikuti dengan murid darjah lain pada minggu berikutnya mulai 8 Mac.

Bagi pelajar sekolah menengah pula, mereka akan memulakan kelas secara fizikal mulai 4 atau 5 April, tertakluk kepada negeri-negeri. Sekolah-sekolah di Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu akan dibuka pada 4 April. Di negeri-negeri lain akan bermula 5 April.

Ada ibu bapa bertanya, pada tarikh pembukaan sekolah itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuat kuasa, dan hanya dijadualkan berakhir pada 4 Mac. Itu pun jika tidak disambung. Bolehkah sekolah dibuka? Biarlah Kementerian Pelajaran yang menjawab.

-BebasNews

Please follow and like us: