Oleh Sarfarizmal Md Saad

“KEMPEN derma ini telah tamat. Sumbangan akan dipertanggungjawabkan dan Malaysiakini akan telus,” tulis pasukan Malaysiakini dalam kenyataan terima kasih portal itu pada petang 19 Februari.

Syabas diucapkan kepada portal Malaysiakini kerana berjaya mengutip lebih daripada RM500,000 dalam masa kurang dari lima jam. Ya, tidak sampai lima jam sahaja.

Untuk yang terlepas bas, portal yang mendakwa mereka sebuah media yang tidak bias itu memohon sumbangan derma orang ramai bagi membayar denda RM500,000 setelah Mahkamah Persekutuan mendapati Malaysiakini bertanggungjawab atas komen menghina institusi kehakiman yang dibuat pembacanya.

Isu ini bukan kecil anak, ia menarik minat beberapa buah media antarabangsa seperti BBC, The Guardian, ABC News, New York Times, Al Jazeera dan banyak lagi. Tak ketinggalan media serantau seperti Straits Times Singapura, Bangkok Post dan Hong Kong South China Morning Post, turut melaporkan hal yang sama.

Disebabkan sentiasa mencanang konon mereka sebuah entiti bebas, maka Duta Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia bersama-sama dengan Duta Norway dan Switzerland menjadi antara diplomat yang tampil memberi respon sokong portal ini.

Kedutaan Amerika Syarikat, Pesuruhjaya Tinggi British dan pemangku Pesuruhjaya Tinggi Kanada juga memberi komen memihak Malaysiakini.

Itu tidak kisah sangat, namun ada lagi yang agak menarik, dana yang diterima Malaysiakini juga diperoleh daripada parti politik yang sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang tahap ‘kebebasan’ sebenar portal berkenaan.

Pandangan yang diberikan oleh penulis dan bekas pengarang kanan akhbar, Ku Seman Ku Hussein dalam facebook ‘kuseman.com’, ada benarnya. Pihak Malaysiakini boleh mengambil tindakan yang lebih bijaksana dengan menafikan atau menolak sumbangan dari parti politik.

Langkah berkenaan menjadinya lebih selari dengan apa yang cuba dilaung-laungkan selama ini sebagai satu suara media yang bebas dan memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat Malaysia.

Mungkin ada tanggapan bahawa tidak salah untuk menerima sumbangan dari sesiapa sahaja termasuk parti politik pembangkang atau kerajaan tetapi dalam kes ini, tindakan ini sukar untuk menghakis kepercayaan ramai bahawa Malaysiakini bukannya pro parti pembangkang.

Jika ditanya kepada kebanyakan pemain media, peminat portal dan ahli politik tempatan, siapakah tidak kenal akan latar belakang dan modus operandi portal Malaysiakini ini? Tipulah jika ada yang menjawab tidak tahu.

Persoalannya, benarkah nanti tiada sebarang agenda sampingan atau tiada usaha ‘balas budi’?

Malaysiakini sendiri sebelum ini pada hakikatnya sendiri telah condong kepada sesebuah parti politik tempatan yang juga mempunyai hubungan yang kuat dengan pihak asing.

Sekali gus menafikan kenyataan portal itu bahawa mereka bergerak bebas tanpa bias kepada mana-mana pihak.

Bahkan seorang sahabat pernah teringat kata-kata seorang bekas pengarang terkenal Datuk A. Kadir Jasin bahawa beliau tidak percaya sesebuah portal boleh memilih untuk menjadi sebuah entiti yang benar-benar bebas kerana mereka yang mampu untuk tidak berpihak hanyalah pelacur.

Jadi manakah  kebebasan yang sebenar dalam media? Adakah ia benar-benar masih wujud atau sekadar wayang.

– BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. Is BebasNews really independent or does it exist at the behest of a political entity? Why pick on your fellow brethren in journalism?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here