SEPANG – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula dua hari lebih awal daripada jadual pada pada Rabu ini (24 Februari) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah akan menjadi individu awal menerima vaksin Pfizer-BioNTech itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sidang akhbar secara maya berkata, kerajaan juga mengekalkan pendiriannya memberikan dua dos suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech kepada penduduk di negara ini.

Beliau yang berkata demikian selepas ketibaan bekalan pertama Vaksin Covid-19 Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Khairy Jamaluddin menjelaskan, pendirian itu diambil selari dengan saranan yang dibuat syarikat pengeluar vaksin tersebut.

“Perkembangan terbaharu yang kita baca baru-baru ini yang keluar dari sebuah negara yang telah melaksanakan program vaksinasi dengan kadar cepat, dinyatakan bahawa vaksin Pfizer (suntikan) satu dos sahaja memberi keberkesanan 85 peratus.

“Namun demikian, kita belum lagi buat kajian data tersebut dan kita masih lagi kekal dengan polisi dua dos untuk Pfizer,” kata beliau.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan turut memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lalu bersetuju memberikan satu skim perlindungan kepada sesiapa yang menerima kesan sampingan serius akibat penggunaan vaksin berkenaan.

Katanya, pengumuman lanjut mengenai skim itu akan dibuat dalam masa terdekat.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here