Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM-Sungguh menyedihkan apabila seorang wanita warga emas yang kudung kakinya dan berkerusi roda dipercayai ditinggalkan keluarganya di tepi jalan di Kampung Jalan Kebun di sini malam tadi.

Lebih memilukan, wanita berumur 60 tahun tersebut hanya bersendirian bersama bekalan lampin pakai buang dan beg pakaian ketika ditemui orang awam, kira-kira pukul 2 petang.

Jurucakap LZS berkata, pihaknya menerusi Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor dan Pusat Operasi Agihan Daerah Kuala Langat segera membantu setelah menerima maklumat mengenai perkara itu pada pukul 8.30 malam tadi.

“Hasil siasatan mendapati wanita itu merupakan asnaf fakir LZS dan masih mempunyai keluarga. Usaha menghubungi keluarga berjaya dilakukan namun tidak mendapat kerjasama baik apabila tiada seorang waris sudi menjemputnya dengan memberi pelbagai alasan,” katanya ketika dihubungi Bebasnews hari ini.

Menurutnya, berikutan keadaan wanita itu yang kudung kaki kanan dan kurang daya ingatan, LZS terpaksa menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Polis kemudian menghubungi anaknya yang pada awalnya bersetuju hadir ke balai polis untuk mengambil ibunya itu.

“Namun, kira-kira pukul 3 pagi tadi, anaknya membuat keputusan tidak boleh menjaga wanita tersebut,” katanya.

Kata jurucakap LZS itu lagi , keadaan berkenaan menyebabkan polis terpaksa menghubungi pusat jagaan warga emas untuk tindakan lanjut.

Beliau menambah, wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam dengan ambulans bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.

“Beliau kini masih berada di wad hospital dan akan ditempatkan di sebuah pusat jagaan warga emas di Kuala Selangor dengan kebenaran anaknya dan semua kos ditanggung sepenuhnya oleh LZS,” katanya.

Tambahnya, wanita itu dipotong kakinya dipercayai akibat penyakit kencing manis sejak Oktober tahun lalu dan punca beliau ditinggalkan tidak dipastikan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here