SAYA ketawa kecil mendengar kenyataan seorang exco Pemuda UMNO, Shahrul Nasrun Kamarudin menyatakan rasuah tidak eksklusif kepada ahli politik sahaja, tetapi juga penjawat awam.

Bagi saya, ahli politik, terutamanya ahli-ahli Parlimen sepatutnya menjadi contoh teladan kepada yang bawah.

Jika menteri-menteri atau Perdana Menteri dan timbalannya serta anak-pinak mereka sendiri bergelumang dengan kes-kes rasuah, maka yang lain-lain akan menerima isyarat yang salah.

Dia kena ingat bahawa gejala rasuah di negara ini banyak terkait dengan sikap dan sifat rasuah orang-orang politik di atas sana.

Bapak borek, anak rintik. Sehinggakan semua orang yang melakukan perlakuan rasuah merasa “ah, jika mereka boleh mencuri ratusan juta ringgit, mengapa tidak aku?” Aku pun nak hidup. Gaji aku bukan besar. Menteri-menteri iaitu ketua aku boleh buat, aku pun boleh.

Kalau exco Pemuda itu bercakap begitu, eloklah mereka tengok dan cermin muka mereka dulu.

Negara ini jatuh kerana pemimpin mereka korup. Sehingga sudah dituduhpun, mereka masih mengagung-agungkan perlaku jenayah itu.

Saya kebingungan dengan sikap itu. Mereka sepatutnya menentang perlakuan membabitkan pemimpin mereka itu. Bukan menyokong dan menjadikan mereka sebagai hero pula.

Jangan disalahkan semata-mata penjawat awam kerana ada juga kemungkinan gejala itu berlaku di sebabkan oleh terikut-ikut dengan trend rasuah di peringkat atas. Saya tak kata penjawat awam yang korup itu tidak salah.

Shahrul, selaku orang muda dalam partinya harus memulakan kempen membersihkan partinya daripada pemimpin yang korup dan membebankan.

Sesungguhnya penyokong parti itu cukup berharap kumpulan muda inilah yang akan melakukan perubahan kepada parti mereka.

Tidak kiralah parti apa sekali pun, pemimpin yang korup, yang kaya dengan gejala dan amalan menumbuk rusuk harus ditolak.

Jika itu berlaku UMNO, khususnya akan kembali dihormati.

Shahrul juga risau dalang sebenar terlepas tindakan mahkamah setelah memberi persetujuan untuk menjadi saksi pihak pendakwa raya. Saudara harus ingat, ia juga adalah satu kaedah pendakwaan ke atas tertuduh.

Adakah Saudara Shahrul masih mempertahankan perlaku jenayah rasuah itu? Dan sebaliknya menyalahkan saksi itu pula?

Ayuh bangkitlah Shahrul. Saudara bercakap mengenai amalan rasuah. Maka itu, gemblingkan kuasa pemuda anda dalam parti dan lakukan perubahan.

Jika ia tidak berlaku. Tak perlu cakaplah. Rakyat sekarang sudah bijak dan bukan tidur lagi.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here