Oleh IRFAN MOWARDI

NATIONAL Oceanic and Atmospheric Administration’ (NOAA), meramalkan kenaikan suhu air laut sebanyak dua darjah Celsius setiap tahun bakal menyebabkan dunia berdepan dengan keadaan yang sukar untuk dipulihkan lagi kerana berlaku kemusnahan penuh kawasan yang sensitif pada cuaca seperti terumbu karang dan paras air laut juga meningkat.

Dan, pada akhir Disember 2019 pula, dunia digemparkan dengan kehadiran virus Covid-19. Virus yang didakwa mula merebak di Wuhan, China dan kini menguji keampuhan sistem kesihatan seantero dunia. Hampir seluruh dunia terpaksa melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi membendung dan melandaikan lekuk jangkitan wabak berkenaan.

Tentunya kita tertanya-tanya apakah hubungan dua pernyataan di atas. Dalam usaha kita membendung wabak penyakit berjangkit ini, diakui bahawa pelbagai sektor ekonomi terpaksa dikorbankan buat sementara waktu. Dalam kegawatan ekonomi yang sedang dirasai bersama ini, sektor ekopelancongan jarang mendapat perhatian. Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian biodiversitinya selain mempunyai pelbagai haiwan unik tetapi sebilangannya diancam kepupusan. Jelas sektor ekopelancongan ini bukan semata untuk meraih keuntungan daripada segi wang ringgit, tetapi lebih besar dari itu. Ringkasnya, ekopelancongan menjadi nadi utama kelansungan program pemeliharaan alam yang akhirnya menjamin kelestarian sumber semulajadi negara.

Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020, banyak projek konservasi yang bergantung kepada kehadiran sukarelawan awam mencatatkan penurunan penglibatan yang agak drastik berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Di Terengganu sahaja, terdapat sekurang-kurangnya empat buah lokasi yang menawarkan aktiviti sukarelawan berbayar kepada orang awam untuk terlibat dengan usaha konservasi penyu dan terumbu karang. Badan-badan bukan kerajaan ini amat bergantung kepada sumbangan yuran penyertaan yang dikenakan untuk kelangsungan program, pemeliharaan mereka. Justeru, dampak negatif secara langsung Covid-19 menjurus kepada terencatnya usaha konservasi di Malaysia.

Jika kita lihat pula daripada segi komposisi sukarelawan yang menyertai aktiviti-aktiviti konservasi penyu dan terumbu karang ini, kebanyakan mereka bukanlah dari warga tempatan. Justeru, Covid-19 telah benar-benar menguji keampuhan projek konservasi di Malaysia dan tampak sekali sikap kurang cakna dalam kalangan masyarakat awam kita sendiri. Keadaan ini mungkin berpunca daripada kurangnya kefahaman asas berkaitan isu alam sekitar khususnya lautan, meskipun negara kita ini dilimpahi dengan hasil laut yang banyak dan hidupan marin yang pelbagai. Berbanding dengan negara jiran kita, Indonesia misalnya. Mereka telah mengadakan ‘Virtual Ocean Literacy Summit’ pada 8 Jun 2020 yang disokong penuh oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui UNESCO. Hal ini perlu dicontohi Malaysia dalam usaha kita untuk meningkatkan tahap literasi lautan warga kita.

Apabila kita berbicara tentang usaha meningkatkan tahap literasi lautan, perkara asas yang perlu difahami adalah kepentingan lautan itu sendiri. Satu contoh mudah, peningkatan suhu lautan dunia telah membawa kepada ledakan populasi obor-obor. Hal ini berlaku kerana kurangnya bilangan pemangsa semulajadi obor-obor ini iaitu penyu belimbing ditambah lagi pula dengan pemanasan global. Menurut rekod dari Jabatan Perikanan Malaysia, penyu belimbing sudah lama tidak datang untuk bertelur di negara kita.

Di samping itu, terumbu karang pula berfungsi sebagai satu bentuk struktur perlindungan terhadap anak ikan-ikan komersial seperti kembung dan sebagainya. Tanpa struktur terumbu karang yang sihat di perairan kita maka menurunlah populasi ikan komersial yang menjerumus kepada peningkatan harga ikan di pasaran dan penurunan sumber protein utama negara kita. Justeru itu, jelaslah bahawa lautan sememangnya mempunyai peranan yang signifikan dalam kelestarian alam dan kehidupan manusia itu sendiri.

Lautan merupakan nadi kehidupan. Selain hutan hujan tropika, lautan membekalkan hampir 70 peratus daripada oksigen yang kita hirup seharian. Oksigen ini dihasilkan oleh makhluk kecil yang terapung di permukaan air yang turut melakukan proses fotosintesis seperti tumbuhan lain. Organisma yang dikenali sebagai plankton ini meliputi seluruh permukaan lautan di dunia namun tidak jelas pada pandangan mata kasar kita. Tuntasnya, tanpa kita sedari lautan memberi impak yang sangat besar dalam kehidupan kita.

Sehubungan itu, penulis juga bertanggungjawab berkongsi pengetahuan asas berkaitan lautan ini kepada masyarakat di luar sana. Jikalau aktivis cilik Greta Thunbeg pernah menggemparkan dunia suatu ketika dengan ucapan padu di persidangan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mahasiswa tidak kurang hebatnya melahirkan gagasan ‘OceanHope’ yang hanya bermula sebagai Gerakan pelajar di kampus kini menerima pengiktirafan di peringkat global. Terbaharu, Saudara Mogesh Sababathy telah dicalonkan sebagai Finalis Anugerah Belia Komanwel 2021. Ini merupakan bukti semangat anak muda dan kualiti kepimpinan gerakan pelajar kita untuk turut sama membangunkan masyarakat demi kelestarian sejagat.

Malang sekali, pandemik Covid-19 memperlahankan usaha mahasiswa dalam mengorak langkah untuk menyebarluaskan capaian literasi lautan. Ketika masa kian suntuk, mahasiswa terus berjuang secara maya. Di samping pembelajaran hakiki, tugasan dan peperiksaan, mahasiswa masih aktif menyebarkan informasi-informasi bagi meningkatkan literasi lautan melalui laman media sosial. Namun, ia ternyata jauh daripada mencukupi buat masa sekarang.

Jam terus berdetik, tanpa kita sedari sudah setahun berlalu sejak kes pertama Covid-19 dikesan di Malaysia tetapi perjalanan masih lagi jauh. Mahasiswa sedang bertarung dalam peperangan yang tidak terzahir kesudahannya. Musuhnya yang sebenar bukannya virus cilik ini tetapi manusia yang tamak dan haloba serta rakus sekali menjarah hasil lautan kita. Meskipun begitu, ini tidak mematahkan semangat mahasiswa malahan cabaran-cabaran ini menjadi pembakar semangat buat mahasiswa kembali berjuang meningkatkan literasi lautan.

Setiap ujian pasti ada hikmahnya, kemunculan virus Covid-19 meskipun merencatkan perkembangan konservasi di Malaysia juga berjaya membuka minda rakyat Malaysia akan kepentingan sains dalam kehidupan. Rakyat Malaysia semakin berminat terhadap bidang-bidang sains terutamanya di laman media sosial. Maka, menjadi tanggungjawab semua yang terlibat di dalam bidang sains baik agensi-agensi kerajaan, ahli akademik mahupun pelajar-pelajar sains untuk mempergunakan peluang ini sebaik mungkin.

Pihak berwajib perlu mengeksploitasi minat ini dan menyalurkan informasi yang terbaharu secara konsisten bagi memastikan minat ini tidak akan pudar. Sebagai rakyat Malaysia yang cakna akan perkembangan semasa, seharusnya kita memanjangkan pula informasi ini dan memastikan kita senantiasa menjadi masyarakat yang proaktif dalam menyebarkan dakyah-dakyah sains. Semua ini amatlah perlu supaya usaha-usaha keras yang dilaksanakan demi mengejar masa yang kian suntuk dalam meningkatkan literasi lautan ini tidaklah bagai ‘menghitung bulu kambing’.

Dalam era ledakan informasi ini, begitu mudah sekali untuk kita menunjukkan dorongan dan sokongan kita terhadap tujahan sains terutama dalam bidang literasi lautan dan konservasi. Pertama sekali, kita boleh berkongsi perkongsian maklumat-maklumat yang bermanfaat di laman media sosial kepada ahli keluarga dan sahabat handai. Perkongsian yang baik ini dapat memupuk daya berfikir yang kreatif dan kritis terutamanya di dalam menyelesaikan permasalahan alam sekitar yang kian meruncing.

Di samping itu, kita juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti secara maya yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan. Penglibatan kita sebagai masyarakat bakal menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha-usaha meningkatkan literasi lautan sekaligus menaikkan moral ahli-ahlinya seterusnya mereka akan terus bersemangat untuk memberikan yang terbaik buat alam sekitar kita.

Natijahnya, dinamik perhubungan antara virus Covid-19 dan konservasi alam sekitar dalam bidang literasi lautan merupakan suatu perhubungan yang agak rumit tetapi mempunyai perkaitan yang rapat. Walaupun Covid-19 memberi cabaran yang besar dalam bidang konservasi, ia juga membuka ruang yang baharu dalam perkongsian maklumat. Hal ini dibuktikan apabila pelbagai program maya berkisarkan konservasi dijalankan bagai cendawan tumbuh selepas hujan dapat diakses oleh masyarakat sejagat walhal sebelum ini ia dilihat sebagai suatu bentuk program bersifat esklusif yang hanya dihadiri oleh ahli akademik dan pelajar sains. Namun pada masa kini, sesiapa sahaja mempunyai akses terhadap perkongsian ini asalkan mempunyai peranti pintar dan rangkaian internet yang memuaskan. Ini menunjukkan bahawa perkara-perkara yang sebelum ini tidak terjangkau dek akal dapat diatasi dengan berkesan hasil daripada pandemik ini.

Dunia semakin kesuntukan masa, setiap saat yang kita bazirkan menjadi saat yang penting untuk kita membaiki kerosakan terhadap alam sekitar. Oleh itu, ambil tindakan sekarang sebagai masyarakat yang cakna isu alam sekitar. Semoga kita mampu memperbaiki kerosakan yang berlaku dan terhindar daripada malapetaka alam sekitar nanti.

Layari Portal Pendidikan OceanHOPE yang dikendalikan oleh warga UMT di laman sesawang http://umtsohor.com/OceanHOPE bagi mendapatkan pelbagai informasi menarik berkaitan lautan istimewa dari warga universiti untuk komuniti.

#LiterasiLautanUntukSemua

Penulis merupakan Presiden Kelab Marina di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu. E-mail: [email protected]

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here