Oleh Wartawan BebasNews

KUALA LUMPUR — Perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi yang sepatutnya berjalan hari ini sehingga 25 Feb ditangguhkan.

Difahamkan, penangguhan itu terpaksa dilakukan kerana Zahid adalah kontak rapat Covid-19 dengan salah seorang menteri.

BebasNews difahamkan Zahid mempengerusikan satu mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Janda Baik Jumaat lalu.

Antara pemimpin yang menghadiri mesyuarat yang berlangsung di Institut Latihan

Memperkasakan Ilmu itu ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz yang hadir dalam mesyuarat itu mengesahkan beliau positif Covid-19. Beliau sudah pun dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh semalam.

Ekoran perkembangan itu, sumber dalaman memaklumkan BebasNews bahawa tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 4-5, 8-11, 18-19 dan 22-26 Mac 2021 dan dibicarakan hingga habis.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi tuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah pula, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya seorang pegawai badan awam, iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung, membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

— BebasNews

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here