Radzi Jidin (dua dari kiri) berbual dengan guru pengawas dan pengawal keselamatan pada hari pertama peperiksaan SPM 2020 semasa melawat SMK Saujana Impian pagi tadi.

PUTRAJAYA- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) 2020 yang bermula Isnin berjalan lancar.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin dalam satu hantaran di laman Facebooknya berkata, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) juga memuaskan.

“Pagi tadi saya bersama Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkesempatan melawat ke SMK Saujana Impian, Kajang untuk meninjau keadaan di sekolah dan pematuhan kepada SOP.

“Keadaan teratur dan peperiksaan berjalan dengan lancar,” katanya pada Isnin.

Sementara itu, Bernama melaporkan seramai 401,105 pelajar di seluruh negara mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 hari ini dalam suasana negara masih berdepan pandemik COVID-19 yang menuntut mereka membawa ‘perisai’ tambahan.

Selain berbekalkan pen dan ilmu pengetahuan seperti kebiasaannya apabila memasuki dewan utama peperiksaan, kelainan bagi calon SPM 2020 ialah mereka juga perlu membawa ‘perisai’ iaitu pelitup muka atau pelindung muka bagi mencegah penularan wabak tersebut.

Pada hari pertama peperiksaan hari ini, calon akan menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, masing-masing bermula pukul 8 pagi dan 2 petang.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima termasuk pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) itu menjadi kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan SPM dalam pembudayaan norma baharu.

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan, penyediaan 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan.

Semua pelajar juga perlu menyerahkan borang perisytiharan kesihatan yang lengkap setiap hari sebelum memasuki dewan peperiksaan selain mengambil suhu badan dan memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan.

Selain itu, calon yang didapati positif COVID-19 atau calon yang diarahkan menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat tidak dibenarkan menduduki peperiksaan dan hanya boleh mendudukinya semula selepas disahkan berada dalam keadaan sihat oleh doktor yang merawat berserta surat pengesahan doktor.

Seramai  48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya sepanjang tempoh peperiksaan yang dijadualkan berlangsung hingga 25 Mac.

Calon SPM pada hari ini juga merupakan kumpulan pelajar yang telah mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype gara-gara penularan pandemik COVID-19.

Peperiksaan SPM, SVM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diadakan pada November setiap tahun, namun bagi tahun 2020, peperiksaan terbabit terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari 2021 berikutan penularan pandemik COVID-19 yang memaksa penutupan sekolah.

– BebasNews

Content retrieved from: https://bernama.com/bm/news.php?id=1933767#.YDMqhjC5szQ.whatsapp.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here