Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM- Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) menyokong langkah kerajaan untuk mempercepatkan Program lmunisasi Covid-19 Kebangsaan ke hari Rabu minggu ini.

Presiden PFM, Amrahi Buang berkata, keputusan yang dibuat adalah tepat dan membuktikan komitmen kerajaan yang serius mahu mengurangkan kes jangkitan virus tersebut secepat mungkin.

“Kerajaan dilihat telah membuat persiapan rapi sebelum tibanya vaksin keluaran Pfitzer-BioNTech di Malaysia dari Puurs, Belgium, semalam.

“Jadi, tidak perlu dilengahkan lagi pelaksanaan program berkenaan kerana negara perlu bangkit segera untuk membaiki pelbagai sektor, terutama sektor ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media melaporkan semalam, Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, program tersebut diawalkan daripada tarikh asal pelaksanaannya iaitu pada 26 Februari.

Khairy berkata, keputusan tersebut dibuat setelah membuat penilaian terhadap semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara, yang kini telah bersedia untuk melaksanakan fasa pertama program terbabit.

Amrahi dalam masa sama, turut memuji keputusan kerajaan untuk membeli picagari jenis low dead volume daripada pihak lain sebagai langkah mengelak vaksin itu dibazirkan.

Menurutnya, setiap titik vaksin sangat berharga bagi memastikan setiap rakyat Malaysia dilindungi daripada Covid-19.

“Saya harap program imunisasi ini berjalan lancar dan semua rakyat Malaysia dapat memberikan kerjasama kepada kerajaan dengan menerima vaksin itu apabila tiba giliran mereka.

“Sekiranya 80 peratus rakyat Malaysia telah imun dengan Covid-19, kita tidak perlu terlalu risau untuk melakukan perkara harian meskipun masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membendung kemerebakan virus berkenaan,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here