Oleh Wartawan BebasNews

KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama Berhad (CBP), sebuah bank koperasi memperuntukan dana RM180,000 bagi membiayai 300 unit tablet yang bakal memanfaatkan pelajar-pelajar B40 untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dari 87 sekolah angkat CBP di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd. Razak berkata, sumbangan berkenaan bertujuan untuk membantu pelajar mengikuti pembelajaran kelas secara dalam talian memandangkan ramai pelajar yang datang dari keluarga kurang berkemampuan tidak dapat mengikuti pembelajaran kerana ketiadaan peranti berkenaan.

“CBP amat peka dengan permasalahan yang dialami oleh keluarga yang terkesan kerana kurang berkemampuan untuk menyediakan peranti yang sesuai untuk mengikuti proses pembelajaran atas talian disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP)” Mohd Nor berkata, pemberian sumbangan itu adalah salah satu program khidmat sosial masyarakat (CSR) CBP yang termasuk dalam kategori pendidikan komuniti.

“CBP amat sensitif dengan isu-isu yang membabitkan soal pendidikan khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah, walaupun sebelum ini CBP telah melaksanakan berbagai program lain seperti Kembali Ke Sekolah, CBP terasa terpanggil untuk memberikan bantuan peranti kerana melihat kepada keperluan dan kepentingan peranti berkenaan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan”.

Menurutnya lagi, walaupun sekolah akan kembali dibuka pada awal bulan Mac nanti, peranti berkenaan masih boleh digunakan oleh pelajar-pelajar sebagai peralatan bantuan dalam pembelajaran kerana mereka masih lagi boleh mempelajari kontenkonten pendidikan secara atas talian sama ada yang disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan ataupun konten-konten lain yang bermanfaat.

Ketika ini CBP memiliki sebanyak 87 buah sekolah angkat di seluruh negara yang dipilih berdasarkan kepada pencapaian cemerlang pelajar-pelajar sekolah berkenaan dalam pelbagai pertandingan sukan dan kemahiran sama ada di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.

“CBP akan sentiasa memastikan kebajikan dan keperluan pelajar-pelajar sekolah terutamanya dari sekolah angkat CBP akan terus dipelihara kerana pelajar-pelajar sekolah berkenaan merupakan modal insan yang harus dijaga”.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here