Pasha Ungu (pelitup muka merah putih) pada majlis perpisahannya sebagai wakil wali Kota Palu pada 17 Februari lalu.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PADA 17 Februari lalu, secara rasminya Sigit Purnomo Syamsuddin Said atau Pasha Ungu, 41, tidak lagi memegang jawatan sebagai wakil wali kota (Datuk Bandar) Kota Palu, Sulawesi Tengah yang disandangnya sejak 2016.

Pasha yang mewakili parti PAN (Parti Amanat Nasional) itu merupakan wakil wali Kota Palu yang ketiga.

Menerusi Instagram miliknya (pashaungu_vm) yang dimuat naik pada tarikh tamatnya tempoh beliau bertugas sebagai Datuk Bandar, Pasha mengucapkan selamat tinggal kepada masyarakat Palu.

“Terima kasih Kota Palu. Saya peribadi dan keluarga mohon izin undur diri. Wakil Wali Kota Palu 17-02-2016 – 17-02-2021,” ungkap Pasha di Instagramnya.

Isteri, Adelia Wilhemina gembira kerana suaminya kembali ke pangkuan keluarga selepas lima tahun berkhidmat untuk masyarakat.

Ungkapan perpisahan Pasha itu turut dikomen oleh isteri, Adelia Wilhemina. Bagi Adelia, pengunduran Pasha dari bidang politik amat mengharukan dan pada waktu yang sama ia merupakan saat indah buatnya sekeluarga.

“Welcome home suamiku sayang. Alhamdulillah enggak kerasa…suamiku terbaik. Selamat melangkah lagi kehidupan baharu lagi sayang…Selalu bersama,” kata Adelia.

Perasaan syukur Adelia terhadap ‘kepulangan’ Pasha ke pangkuan keluarga turut dipaparkannya di dalam Instagramnya (adeliapasha).

“Waktu kita bisa deketan terus…Dan memulai hal yang baharu…Terima kasih masyarakat Kota Palu mohon maaf segala kelebihan dan kekurangan selama loma tahun ini. Mudah-mudahan Kota Palu bisa lebih maju lagi,” ungkap Adelia.

Selama lima tahun Pasha bergiat dalam bidang politik dan kini kembali aktif sebagai anak seni.

Sementara itu, Pasha terlihat bahagia akhirnya kerana dapat berkumpul di rumah dan bersarapan bersama anak. Malah menerusi Instagramnya, Pasha turut memuat naik foto bersama anggota kumpulan Ungu, Enda dan Onci.

Malah sewaktu menjadi tetamu dalam program InsertLive di Studio Trans TV pada 20 Februari lalu, Pasha turut memberitahu bahawa beliau dan kumpulan Ungu sedang merancang projek baharu.

“Memang ada album baharu, insya-Allah paling lambat April kita akan mengeluarkan single religi tapi dengan konsep album penuh. Akan ada album fizikal yang akan dijual untuk masyarakat khususnya untuk Cliquer yang suka ngoleksi (koleksi) CD (cakera padat) Ungu,” katanya.

Bakal tampil dengan album religi bersama anggota kumpulan Ungu pada April ini.

Kumpulan Ungu pernah menghasilkan album berbentuk religi yang pertama, Surgamu pada 2006 dan lagu Andaiku Tahu menjadi kegemaran ramai. Selepas itu Ungu muncul dengan album berbentuk kerohanian, Para Pencari Mu.

Sementara itu, kembalinya Pasha menjadi vokalis tidak dirasakan ada kesulitan kerana selama menjadi wakil Wali Kota Palu, Pasha masih sering berkumpul dengan anggota lain.

“Kita sih lima tahun bukan berarti nggak ngumpul, ngumpul juga tapi nggak sesering dulu. Sekarang waktunya yang disatuin, selebihnya kita udah nyatu sih, pikirannya udah nyatu, konsepnya udah nyatu, udah nggak ada masalah,“ jelas Pasha yang popular dengan lagu Demi Waktu dan Kekasih Gelapku sebelum ini.

Pasha dan Adelia bahagia dapat menjalani kehidupan seperti orang biasa.

Pernikahan Pasha dengan Adelia sejak 2011 dikurniakan empat orang anak iaitu, Dewa Hikari Zaidan Ibrahim, Sakha Dyandra Sultan Yusuf, Aliyan Akhtar Raja Sulaiman dan Princess Kayla Mutiara Pasha.

Sebelum itu, Pasha juga telah mempunyai anak hasil perkahwinan dengan Okie Calerista Agustina sebelum mereka bercerai pada 2009. Hasil perkahwinan itu beliau dikurniakan tiga orang anak, Kiesha Alvaro Putra Sigit, Shakiena Azalea Putrina Pasha dan Nasha Anaya Putri Valentina Pasha.

Adelia dan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan Pasha.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here