Oleh Ruhanie Ahmad

PERPADUAN nasional adalah satu daripada nilai-nilai teras kebangsaan dan paksi kepada keamanan, kemajuan dan kemakmuran di Malaysia yang majmuk.

Elemen kenegaraan yang abstrak ini mesti dipelihara sepenuhnya oleh seluruh rakyat Malaysia, pada setiap masa, tanpa mengira bangsa, agama atau ideologi.

Penerapan, pemupukan dan pemeliharaan perpaduan nasional; serta pembentukan undang-undang, dasar serta programnya di Malaysia, bagaimanapun, mesti tidak hanya berpandukan nilai dan piawaian sejagat.

Ia mesti berasaskan realiti setempat, sejarah, budaya dan warisannya.

Ini kerana Tanah Melayu di zaman penjajah adalah negara satu bangsa (a nation-state).

Ia hanya menjadi negara majmuk atas manipulasi British menerusi dasar kemerdekaannya yang memaksa Peribumi menukarkan Tanah Melayu menjadi negara berbilang kaum.

Lantas, perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 menyebabkan ratusan ribu pendatang ke Tanah Melayu di zaman British diberikan hak kewarganegaraan menerusi Perlembagaan Persekutuan.

Akibatnya, adalah dipercayai bahawa penduduk Tanah Melayu melonjak sekali ganda menerusi kemerdekaannya, dan hakikat ini menyebabkan Peribumi menjadi kaum minoriti di bumi tumpah darah mereka.

Disebabkan kemerdekaan, Peribumi hanya sebanyak 49 peratus berbanding keturunan asing sebanyak 51 peratus.

Bagaimanapun, penduduk Peribumi Malaysia meningkat jumlahnya dari 1970 hingga ke hari ini. Pada tahun 2000, Peribumi merupakan 64.1 peratus dan pada tahun 2020 adalah 69.6 peratus.

Namun, sama ada Peribumi di Malaysia merupakan penduduk minoriti atau majoriti, seluruh pihak mesti menerima hakikat bahawa bumi bertuah ini adalah bumi tumpah darah Peribumi.

Maksudnya, Malaysia yang majmuk mutakhir ini tidak dibina di kawasan hutan belantara yang tanpa penghuni. Malaysia yang merdeka dibina atas Tanah Melayu yang menjadi tanah tumpah darah Peribumi sejak berkurun lamanya, dengan budaya serta warisan sejarah yang serupa.

Peribumi wujud di Wilayah Nusantara atau Dunia Melayu di Asia Tenggara ini sejak zaman berzaman.

Menurut kajian keselamatan moden, Peribumi dikategorikan sebagai bangsa teras (core nation).

Secara konsepnya, bangsa teras adalah “kelompok manusia yang besar jumlahnya, yang berkongsi budaya, dan mungkin juga terdiri daripada rumpun etnik dan bangsa yang serupa, serta memiliki warisan yang sama.

Disebabkan bangsa adalah hasil perkongsian sejarah yang serupa, maka kelompok ini lazimnya menjadi penduduk majoriti di sesuatu lokasi teras”.

Ini sebabnya Peribumi Malaysia dikategorikan sebagai bangsa teras. Nenek moyang mereka telah menduduki Malaysia, di Alam Nusantara, di Dunia Melayu, di rantau Asia Tenggara, sejak zaman berzaman.

Rakyat Malaysia lainnya tidak diketegorikan bangsa teras kerana nenek moyang mereka adalah berasal daripada Asia Timur atau Asia Selatan.

Konsep bangsa teras belum wujud di zaman pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Namun konsep ini sudah diiktiraf secara tersirat oleh Ratu Inggeris, Raja-Raja Melayu, Perikatan serta lain-lain pihak yang terlibat dalam penyedian perisian kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Lantaran itu wujudlah perlembagaan yang tidak mengenepikan hakikat Peribumi.

Sebab itu juga Perlembagaan Persekutuan diterima baik oleh semua pemegang taruhnya, termasuk Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mewakili UMNO, Tan Cheng Lock mewakili MCA, and V.T. Sambanthan mewakili MIC.

Konsep bangsa teras yang membabitkan Peribumi Malaysia juga berkait rapat dengan pengurusan keselamatan nasional di Malaysia.

Ia juga menyebabkan pelbagai dasar pembinaan bangsa (nation-building) termasuk DEB, dibentuk secara afirmatif coraknya.

Biarpun begitu, wajar diinsafi bahawa konsep bangsa teras ini tidak sekali-kali berasaskan konsep Ketuanan Melayu yang dipropagandakan oleh sesetengah pejuang politik Malaysian Malaysia.

Hakikatnya, Ketuanan Melayu di Malaysia telah terkubur apabila Peribumi dipaksa oleh penjajah British untuk setuju dengan dasar kemerdekaannya yang menukarkan Malaysia dari negara-bangsa kepada negara majmuk menerusi Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan di atas, konsep bangsa teras yang mengaitkan Peribumi Malaysia perlu difahami oleh seluruh pemimpin, ahli politik dan rakyat jelata.

Konsep ini juga mesti difahami dan dihayati oleh seluruh pembikin dasar dan penggubal undang-undang Malaysia supaya mereka tidak apologetik apabila pembentukan sesuatu undang-undang, dasar atau program terpaksa memihak kepada Peribumi.

Hakikat ini termasuklah dalam konteks pembentukan dasar serta program perpaduan nasional di mana ianya perlu berpaksikan Peribumi selaku bangsa teras Malaysia.

Peminggiran konsep ini dalam sesuatu undang-undang, dasar atau program akan berakhir dengan polarisasi, keadaan tidak harmoni atau kekecewaan kaum dalam konteks bangsa, agama serta pengagihan kekayaan negara.

Dengan ini juga, walaupun sesebuah kerajaan Malaysia perlu menitikberatkan kepentingan semua pihak, hakikat bangsa teras tidak boleh sekali-kali diabaikan.

Ini kerana peminggiran Peribumi selaku bangsa teras Malaysia boleh menjejaskan sektor keselamatan politik, keselamatan jati diri dan keselamatan sosioekonomi Malaysia, dan sekaligus juga menjejaskan keselamatan nasional Malaysia.

[Datuk Dr Ruhanie Ahmad selaku penganalisis isu-isu strategik dan
keselamatan, adalah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor 1990-2003]

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here