universiti malaya
Salah sebuah IPT tempatan. - Gambar Bernama
Oleh Tun Seri Lanang, PhD

NEGARA sedang berhadapan dengan ekologi pengajian tinggi yang sama sekali berbeza dengan zaman sebelumnya.

Baru-baru ini landskap media negara begitu ghairah membicarakan berbagai perihal yang berkait rapat dengan universiti tempatan.

Kepelbagaian itu mungkin sebagai refleksi kepada begitu banyaknya universiti di Malaysia ketika ini berbanding pada masa dahulu.

Bermula dengan isu berkaitan dengan profesor yang tidak berkualiti, jurnal pemangsa (predator) sebagai modal kenaikan pangkat akademik, universiti seumpama kilang pengeluaran, budaya universiti terhakis dek budaya korporat sehinggalah membawa kepada isu ‘clock in’ yang menjurus kepada kemerosotan universiti awam.

Kesemuanya ini membawa kepada pentingnya memiliki tadbir urus serta kepimpinan yang dinamik lagi berkesan khususnya dalam memastikan kelestarian pendidikan tinggi negara.

Dalam konteks ini, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu memainkan peranan yang cukup penting dalam mencorakkan hala tuju pengajian tinggi negara. Ini adalah bermula dengan mengenal pasti peneraju yang bakal menerajui sesebuah universiti.

Pelantikan Naib Canselor, misalnya hendaklah mengikut peraturan-peraturan yang telah dibuat oleh kementerian sendiri. Umpamanya mengenai kelayakan akademik, pengalaman dan lain-lain.

Tetapi ada kala mereka tidak mengikuti peraturan itu.

Mereka ini mestilah memiliki kebijaksanaan (wisdom) mengatasi kehendak peribadi selain daripada benar-benar ingin memastikan kelangsungan dan kepentingan pendidikan yang sejak dahulu menjadi agenda utama negara.

Ia bukanlah untuk memenuhi “kepentingan kelompok tertentu mahupun individu tertentu” yang berkehendakkan jawatan walaupun setelah mereka tamat dalam perkhidmatan.

Janganlah lagi mengambil “profesor-profesor pencen” untuk menjadi Naib Canselor.

Kerana jika “profesor pencen” itu adalah yang terbaik, sepatutnya mereka sudah dipilih menjawat jawatan itu semasa dalam perkhidmatan lagi.

Berilah peluang kepada mereka yang masih dalam sistem dan di bawah umur 60!

Dalam masa yang sama pihak kementerian juga perlu menerima hakikat bahawa segala perancangan dan pelan yang telah diusahakan itu, tidak akan mungkin mencapai matlamatnya jika kepemimpinan akademik di peringkat universiti adalah lemah dan terkebelakang disebabkan oleh faktor usia penerajunya atau dalam patah perkataan Inggeris “out of sync”.

Adalah jelas bahawa pesongan awal ini wajib dilaksanakan oleh pihak KPT agar ia membuka ruang eksplorasi dan jelajah idea yang lebih efektif lagi efisien dalam kalangan peneraju universiti.

Sebagai contohnya, adalah amat jarang kita mendengar bagaimana sesebuah universiti itu menyediakan platform kepada para pelajarnya menjadi lebih versatil khususnya yang membawa kepada memiliki sudut pandang sarwajagat atau weltanschauung.

Keadaan ini hanya mampu berlaku sekiranya dari sudut akademik dikembangluas merentasi korpus yang berbeza dan tidak hanya statik kepada bidang pengkhususan semata-mata. Ia tidak sama dengan operasi kilang perusahaan yang memiliki bidang pengkhususan dalam pembuatan.

Hal inilah yang gagal difahami oleh pentadbir universiti.

Pengkhususan sesuatu korpus tanya dihubungjalin dengan korpus yang lain hanyalah akan menghasilkan graduan yang hanya memiliki satu sudut pandang semata.

KPT perlu menerima hakikat bahawa kebanyakan daripada graduan yang meniti keluar dari universiti hari ini tidak lebih seumpama mesin yang perlu direset semula.

Jika ini tidak benar jadi mengapakah kerajaan memperkenalkan pelbagai skim kepada graduan khususnya sejak krisis ekonomi melanda negara akhir 1997.

Penetapan semula ini adalah amat penting kerana keupayaan melihat dan mentafsir masa mendatang memerlukan peneraju yang pragmatis dan bersifat terbuka dalam menerima idea-idea baru.

Bukanlah mereka yang masih terperup dengan “past glory” dan hilang sentuhan kepimpinan disebabkan kepentingan peribadi yang mengatasi kepentingan negara.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Stefan Collini (2017) “We need to be able to articulate an understanding of what universities are for that is adequate to our time if we are able to decide what to do”.

Walaupun sukar untuk diterima namun ia perlu diluahkan.

KPT perlu untuk menetapkan standard iaitu memberi peluang kepada ahli-ahli akademik yang masih lagi memiliki tempoh masa khidmat yang panjang dan mulakan pusingan jawatan NC mengikut tempoh masa tertentu.

Keupayaan penetapan ini dalam jangka masa panjang akan memberikan pulangan yang amat bermakna apabila penerajunya masih memiliki dinamisme serta keupayaan dalam melihat potensi-potensi besar yang boleh dituai hasilnya.

Kita wajib menyatakan perkara ini kerana perubahan yang mendatang adalah pelbagai sifatnya dan penuh dengan ketidaktentuan.

Aspek pengajian tinggi dan hala tujunya bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan hanya kerana untuk memenuhi hasrat sesetengah pihak. We Need To Talk About Universities!

* Tun Seri Lanang ialah pembaca bebasnews.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here