Velvet masih aktif menyanyi dan kini tampil dengan single Mimpi Indah

BIARPUN kemunculan Velvet Lawrence Aduk, 34, dalam bidang seni tidak sekerap penyanyi lain kerana beliau merupakan artis yang bersih daripada kontroversi.

Namun beliau mempunyai asas yang kuat dalam bidang seni suara sebagai salah seorang peserta program Akademi Fantasia musim keempat. Sejak dalam program tersebut lagi, penyanyi asal Penampang, Sabah itu telah membuktikan bakatnya.

Kini biarpun namanya tenggelam timbul di celah kebangkitan bakat-bakat baharu, namun Velvet tidak pernah patah semangat kerana beliau berada di kedudukan tersendiri.

Bagi meneruskan perjuangan seninya, kini Velvet tampil dengan single baharu berjudul Mimpi Indah yang merupakan ciptaannya.

Mimpi Indah adalah lagu berkisar tentang kehilangan, cinta dan apa saja yang berkaitan dengan perasaan yang dilalui oleh setiap orang.

“Lagu ini tercipta selepas saya kehilangan anjing kesayangan secara tiba-tiba. Apa yang tertulis dalam bait lagu ini adalah perasaan saya yang amat terasa dengan kematian binatang kesayangan saya itu.

“Memandangkan Mimpi Indah adalah tentang perasaan orang yang kehilangan insan atau sesuatu yang disayangi, lagu ini sesuai untuk semua peringkat usia. Saya yakin mereka yang kehilangan orang tersayang pasti mengalami perasaan seperti yang saya coretkan,” katanya.

Disebabkan lagu tersebut begitu istimewa buatnya, Velvet juga tidak mahu melepaskan peluang untuk berkongsi ideanya bagi menjayakan penggambaran video muzik Mimpi Indah.

Dek penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 berlaku ketika jadual penggambaran video muzik, Velvet mengambil keputusan untuk mengeluarkan lirik video terlebih dahulu.

Bersama suami, Rich dan mereka pernah berduet bersama.

“Dalam situasi yang tak diduga ini, kita perlu menjadi kreatif menggunakan apa yang ada dulu. Sebenarnya mencabar juga tapi apa boleh buat, sudah begitu keadaannya.

“Nanti bila keadaan sudah kembali reda, sudah tentu kita akan buat video muzik seperti biasa. Saya harap, peminat bersabar dan nikmatilah dulu lirik video Mimpi Indah yang ada itu,” katanya penuh harapan.

Sebelum tampil dengan Mimpi Indah, Velvet yang merupakan isteri kepada Rich, vokalis Estranged itu terlebih dahulu tampil dengan lagu Dusun berjudul Insan Tadau, duet dengan Marsha Milan.

Lagu-lagu lain dendangan Velvet yang dihasilkan sejak PKP pertama lagi adalah Plain White T (English), Dunia Baru (duet dengan Rich Gimbang) dan Soira (Dusun).

Mimpi Indah dilancarkan sejak 14 Februari lalu dan boleh didapati di semua platform digital seperti YouTube, iTunes, Apple Music, Deezer, Spotify, KK Box dan lain-lain.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here