Norazah Abdul Aziz (kiri) diiringi pegawai SPRM hadir ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di Johor.

JOHOR BAHRU – Seorang kakitangan Pejabat Kadi Daerah Kluang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas 21 pertuduhan membuat tuntutan palsu setiap bulan sebanyak RM800 sehingga menjadikan jumlah keseluruhan RM16,800 pada  Januari 2015 hingga September 2016.

Walau bagaimanapun, Norazah Abdul Aziz, 49, mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan kesemua pertuduhan secara berasingan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Norazah didakwa dengan niat memperdayakan prinsipalnya, iaitu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan membuat tuntutan palsu menerusi Borang Tuntutan Saguhati Mengajar Di Bawah Rancangan Kelas Takmir Masjid Dan Surau berjumlah RM800 setiap bulan.

Tertuduh yang merupakan Pembantu Tadbir Pengkeranian/Operasi didakwa melakukan perbuatan itu selama 21 bulan pada Januari hingga Disember 2015 serta Januari hingga September 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Bagi pertuduhan tersebut, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Siti Norbaya Aman.

Terdahulu, Nur Mahirah memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Walau bagaimanapun, peguam tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM10,000 berikutan Norazah mengalami masalah kewangan.

“Tertuduh mempunyai anak yang sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej, manakala ibunya uzur dan perlu menjalani dialisis setiap minggu dengan belanja RM600 sebulan.

“Tertuduh sudah bekerja selama 21 tahun di Pejabat Kadi Daerah Kluang, namun dia digantung kerja mulai hari ini dan gajinya hanya dibayar separuh sahaja,” katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah pada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac depan bagi penyerahan dokumen.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here