Studio radio UCSI yang juga dibuka untuk sewaan pihak luar.
Oleh Wartawan BebasNews

KUALA LUMPUR – UCSI University melalui Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal, melabur lebih RM1.5 juta untuk menyediakan dua fasiliti utama mereka iaitu Pusat Media dan Penyiaran (MBC) UCSI serta Makmal Klinikal Psikologi UCSI.

MBC UCSI siap dibina pada tahun 2019 sebagai pusat penyiaran yang lengkap untuk pelajar-pelajar komunikasi melahirkan kreativiti mereka. Ia merangkumi studio radio, studio televisyen (TV), bilik rakaman suara, studio fotografi serta bilik persalinan dan bilik solek.

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi, Ken Choong dalam kenyataannya di sini, MBC UCSI menyediakan kelengkapan berteknologi tinggi yang terkini seperti layar hijau, kamera 4K, peralatan perisian profesional, bilik akustik, makmal fotografi dan sebagainya.

“Kelengkapan yang ada ini membuka ruang kepada pelajar UCSI menterjemahkan idea mereka dengan peralatan yang sesuai dengan standard industri sekaligus supaya mereka terbiasa dengan keperluan industri apabila keluar bekerja nanti.

“Fasiliti ini bermanfaat untuk pelajar menyiapkan tugasan malah menyiapkan karya untuk menyertai mana-mana pertandingan malah pihak universiti juga kerap mencari peluang serta ruang untuk mengadakan kolaborasi bersama pemain industi supaya pelajarnya dapat menimba ilmu tambahan,” katanya.

Selain itu, MBC turut menawarkan servis kepada pemain industri yang berminat untuk menggunakan fasiliti ini dengan kadar sewaan berpatutan.

Sementara itu, Makmal Klinikal Psikologi UCSI yang dikendalikan Jabatan Psikiologi memiliki lima buah bilik merangkumi Studio Penilaian, Bilik Pemerhatian, Bilik Perbincangan, Studio Psikoterapi dan Bilik Terapi Berkumpulan.

Bagi Studio Penilaian, terdapat 11 jenis alat ujian psikologi berbeza mengikut keperluan klien ini termasuk ujian IQ dan personaliti sementara Bilik Pemerhatian memiliki dua buah bilik berbeza yang dilengkapi kamera serta cermin dua hala.

Bilik Perbincangan merupakan bilik kaunseling manakala Studio Psikoterapi sebagai ruang untuk sesi suaikenal dan Bilik Terapi Berkumpulan merupakan ruang konsultasi bersama kaunselor.

Menurut Ketua Jabatan Psikiologi, Dr Zhooriyati Sehu Mohamad, makmal ini memberi ruang kepada pelajar untuk menjalankan latihan secara praktikal yang menepati standard ditetapkan menggunakan peralatan tambahan disediakan.

“UCSI University merupakan satu daripada lima universiti di Malaysia yang menawarkan pengajian psikologi klinikal. Kita juga ada perancangan untuk mendaftarkan Makmal Klinikal Psikologi UCSI sebagai klinik pada tahun ini untuk orang ramai menjalani diagnosis berkaitan psikologi.

Makmal psikologi UCSI

“UCSI juga memiliki Makmal Psikiologi dengan dua bilik yang sediakan untuk tujuan penilaian dan beraktiviti malah pelbagai permainan disediakan sesuai untuk kanak-kanak,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here