Hasni Muhammad (tengah) dan barisan exco yang menjadi penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 di Johor.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berharap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dapat meningkatkan usaha pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.

Beliau berkata, andai pembukaan sempadan antara kedua-dua negara dapat direalisasikan dengan segera, usaha tersebut mampu merancakkan lagi ekonomi rentas sempadan.
“Apabila rakyat kedua-dua negara sudah diberi suntikan vaksin, maka pergerakan rentas sempadan akan diyakini lebih selamat.

“Saya juga yakin menerusi pemberian vaksin ini, ekonomi Negeri Johor dapat pulih lebih awal berbanding negeri-negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini (23 Februari).

Hasni turut mengesahkan beliau dan barisan Exco kerajaan negeri akan menjadi kumpulan pertama di negeri ini yang menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam masa terdekat.
Turut akan menerima suntikan vaksin berkenaan ialah kepimpinan tertinggi kerajaan negeri.

“Dengan bermulanya Program Imunisasi yang dilaksanakan kerajaan, rakyat termasuk Bangsa Johor mampu menjalani kehidupan dengan lebih yakin dan selamat serta melindungi diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, kerajaan negeri juga sudah bersedia untuk melaksanakan program imunisasi itu termasuk mengenal pasti pusat vaksinasi di setiap daerah serta menyediakan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) yang terlatih untuk memberi suntikan vaksin.

Justeru, beliau berharap Bangsa Johor akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Marilah kita bersama-sama terus berusaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” katanya. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here