Penggambaran dijayakan oleh bakat-bakat baharu dari sekitar Pahang.

SETIAP hari ada saja kisah rumah tangga berkaitan suami atau isteri curang dan tidak kurang juga anak-anak menjadi mangsa dera ibu bapa.

Tambahan pula sejak pandemik Covid-19 melanda, jika seseorang itu tidak kuat iman, pelbagai perkara yang tak diingini boleh berlaku. Itulah realiti kehidupan sekarang, setiap insan ada masalah tersendiri.

Bagi mengungkap permasalahan tersebut, produser dan penerbit, Jaja Ishak, mendapat idea untuk memaparkan kisah tersebut menerusi saluran YouTube JICTV (Jaja Ishak Channel Televisyen).

Jaja Ishak menjadikan cerita pendek Ustaz Tarbiah untuk berkongsi pelbagai isu dengan penonton.

Menggunakan YouTube sebagai medium untuk berkongsi masalah orang ramai dan memberi pengajaran kepada penonton, Jaja menjadikan cerita pendek berjudul Ustaz Tarbiah untuk menyalurkan informasi.

Episod pertama Ustaz Tarbiah disiarkan pada 29 Januari lalu dengan judul, Tipu-Tipu. Sementara episod kedua yang berjudul Siapa Boros disiarkan menerusi JICTV pada 5 Februari lalu. Setakat ini jadual tayangan cerita pendek Ustaz Tarbiah yang menampilkan judul berbeza disiarkan setiap malam Jumaat, pada pukul 9 malam.

Antara isu yang diketengahkan dalam Ustaz Tarbiah adalah Enam Bulan Kahwin Masih Dara, Pasangan Muda dan Anak Deret yang bakal temui penonton pada 26 Februari ini.

Sebanyak 13 episod digarap oleh penulis skrip terkenal iaitu MF Kenchana.

“Sudah empat episod bersiaran, maklum balas yang diterima cukup baik daripada penonton. Pelbagai kisah yang tidak pernah didedahkan kepada umum dipertontonkan bagi memberikan pengajaran berguna buat semua,” kata Jaja tentang Ustaz Tarbiah yang dihasilkan sebanyak 13 episod itu.

Tambahnya, kalau berdasarkan kes yang dipaparkan, ustaz tersebut akan mengupah penyiasat persendirian bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan kes yang difailkan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Namun katanya, kebanyakan kes tersebut berjaya diselesaikan tanpa sampai ke tahap penceraian.

“Memang banyak sebenarnya kisah rumah tangga yang berlaku dalam masyarakat kita membuatkan pegawai khidmat nasihat terpaksa menyiasat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Berdasarkan kisah-kisah ini kita kutip dan jadikan sebuah drama episod pendek di YouTube. Setidaknya isu-isu seperti ini boleh menjadi pengajaran kepada semua dalam menghadapi layar rumah tangga,” kata Jaja yang juga merupakan pencetus idea asal Ustaz Tarbiah.

Cerita pendek Ustaz Tarbiah mendapat sentuhan penulis skrip terkenal tanah air iaitu MF Kenchana yang menggarapkan karya selepas mendengar cerita pengalaman pegawai khidmat nasihat yang mengendalikan kes penceraian di Pahang.

Tambahnya, JICTV juga beruntung kerana mendapat Dana Kandungan Digital (DKD Mikro) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi merangsang dan merancakkan lagi kandungan digital dengan cerita yang menarik.

Walaupun Ustaz Tarbiah untuk saluran YouTube, namun kualitinya tetap dijaga.

Tidak sekadar menggunakan tenaga kerja profesional, Ustaz Tarbiah juga menggunakan pelakon seperti Aisar Khaled, Didi Zakir, Hafidz Wolo, Riedzuan Othman dan beberapa bakat Pahang memandangkan penggambaran dilakukan seratus peratus di Kuantan.

“Memang kita beruntung dapat menyumbangkan idea dan kisah sebenar yang menarik untuk memberikan sesuatu yang segar menerusi YouTube. Kita sediakan kandungan percuma dan berkualiti untuk mereka dan sudah tentu ini akan memberikan sesuatu pengajaran buat semua.

“Dengan adanya dana seperti ini sebenarnya memberikan semangat buat penyedia kandungan untuk terus berkarya di platform berkenaan. Setidaknya mereka bebas memilih isu, pelakon dan pelbagai kelebihan selain menjana pendapatan sendiri,” tambah Jaja yang turut menitik beratkan tentang kualiti gambar walaupun untuk siaran YouTube saja.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here